Sabtu, 2 Jun 2012

Tun Zaki ketuai suruhanjaya khas perkhidmatan awam

SINAR HARIAN

KUALA LUMPUR - Bekas Ketua Hakim Negara Tun Zaki Azmi dilantik sebagai Pengerusi Suruhanjaya Khas Mengkaji Transformasi Perkhidmatan Awam, yang ditubuhkan bagi mengkaji secara komprehensif dan holistik perkhidmatan awam negara.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan berkata suruhanjaya itu mempunyai enam anggota iaitu bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Ismail Adam; bekas Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Alimuddin Mohd Dom; bekas Ketua Audit Negara Tan Sri Dr Hadenan A. Jalil; bekas Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Hussin Ismail; bekas Panglima Latihan Tentera Darat Mej Jen (B) Datuk Che Hasni Che Ahmad dan Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Datuk Omar Osman.

"Suruhanjaya diberi mandat untuk mengemukakan perakuan kepada kerajaan dalam tempoh enam bulan," kata Mohd Sidek dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, perakuan-perakuan Suruhanjaya Khas ini akan dipertimbangkan mengikut kemampuan kewangan kerajaan.

Mohd Sidek berkata, Sekretariat Suruhanjaya Khas adalah Bahagian Perancangan, Penyelidikan dan Korporat, Jabatan Perkhidmatan awam.

Penubuhan suruhanjaya bagi mengkaji transformasi perkhidmatan awam ini, yang bukan sahaja melibatkan sistem saraan tetapi juga rupa bentuk perkhidmatan awam masa depan yang diperlukan negara, diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada perjumpaan khas bersama penjawat awam di Putrajaya, 8 Mac lepas.

Najib turut mengumumkan pembatalan pelaksanaan sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) dan kembali kepada Sistem Saraan Malaysia (SSM) yang ditambah baik, termasuk pelarasan gaji antara tujuh hingga 13 peratus. - Bernama

Tiada ulasan: