Rabu, 20 Jun 2012

Tujuan demo bukan mahu guling kerajaan, kata Salahuddin

Jamilah Hamzah
Tujuan demo bukan mahu guling kerajaan, kata Salahuddin
  Suasana di Auditorium Kompleks Media Karangkraf, Shah Alam - tempat berlangsungnya Debat Sinar malam ini.
 
 
SHAH ALAM - Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub berkata, demonstrasi anjuran pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pembangkang bukan bertujuan mahu menggulingkan kerajaan, sebaliknya bertujuan memperkukuhkan institusi yang mengamalkan prinsip demokrasi.

Sehubungan itu beliau berkata, Pakatan Rakyat (PR) akan terus menyuburkan demonstrasi sebagai salah satu cara untuk membentuk negara yang mangetengahkan suara-suara rakyat dalam memacu kerajaan.

"Demonstrasi yang diadakan kami (PR) melalui Bersih 3.0 terutamanya bukan untuk meruntuhkan (kerajaan semasa) tapi mengukuhkan kerajaan dan menuntut hak demokrasi yang diamalkan oleh negara.

"Jika negara menerima demonstrasi ia adalah pengukuhan untuk negara, tapi sekiranya tidak ia adalah keruntuhan bagi sesebuah negara," katanya pada Debat Sinar di sini, malam ini.

Salahuddin juga berkata, demonstrasi yang diadakan dengan niat yang betul adalah cara untuk membantu rakyat dan menjadi salah satu "tarikan pelancong" jika keadaan itu tidak dicemari oleh provokasi pihak tertentu.

"Kita masih belum sampai satu sistem yang sempurana tapi sedang menuju ke arah kesempurnaan dan sekiranya kita (PR) cukup ruang tidak akan ada demonstrasi jalanan ini lagi.

"Demonstrasi jadi salah satu cara untuk membantu rakyat dan tarikan pelancong jika tiada gas pemedih seperti perarakan perayaan Thaipusam oleh masyarakat India ke Batu Caves," katannya lagi.

Dalam pada itu, Salahuddin juga berkata, demonstrasi yang mengukuhkan kerajaan membuka ruang baru kepada demokrasi yang dibawa negara dan akan memberi peluang kepada semua untuk menyuarakan hak secara aman jika Putrajaya dikuasai PR nanti.

"Demonstrasi adalah ruang untuk rakyat suarakan pendapat dan pembangkang menutut hak. Jika PR dapat kuasai Putrajaya nanti, Barisan Nasional juga akan diberi hak yang sama tanpa sebarang provokasi yang berlaku terhadap kami," katanya.

Tiada ulasan: