Jumaat, 1 Jun 2012

SPRM: Kerjaaan perlu perketat syarat pinjaman

Nurul Aini Mohamed Ali

PUTRAJAYA - Susulan projek kontroversi Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesyorkan beberapa pendekatan bagi mengelak penyelewengan dan salah laku - antara lain memperketatkan syarat pinjaman mudah.

Suruhanjaya juga mahu peruntukan baru iaitu mewajibkan agar ahli keluarga menteri dan timbalan menteri mengisytiharkan status mereka sekiranya terdapat mana-mana ahli keluarga anggota pentadbiran memohon projek kerajaan.

SPRM semalam mengisytiharkan Ketua Wanita Umno, Datuk Shahrizat Abdul Jalil bersih daripada tuduhan salah laku rasuah melibatkan projek NFC.

Dengan merujuk kepada isu projek NFC, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Sutinah Sutan berkata, selain aspek pengisytiharan, syarat pinjaman mudah juga harus diperketatkan.

"Apabila ada anggota pentadbiran mahu membuat pinjaman, menteri atau timbalan menteri mesti isytihar dan keluar dari mesyuarat," kata beliau pada sidang media di pejabatnya di sini, hari ini.

"Kita mencadangkan saranan bagi meningkatkan akauntabiliti seterusnya menutup ruang dan peluang rasuah, penyelewengan dan sebarang salahguna kuasa mana-mana pihak yang berkaitan," kata beliau.

Sehubungan itu, SPRM juga mencadangkan kepada Kementerian Kewangan agar menyediakan satu tatacara yang standard, lebih jelas dan telus berhubung proses pinjaman mudah agar tidak ada ruang bagi terjadi sebarang penyelewengan.

"Selain itu, kami menyarankan agar Kementerian Pertanian dan Asas Tani perlu teliti dalam pemilihan syarikat dan perlu mengetahui latar belakang dan kemampuan syarikat sebelum memutuskan untuk memberi sebarang projek," tambah beliau.

Tambah Sutina, kajian terperinci dan pengurusan risiko terhadap sesebuah projek perlu dijalankan sebelum projek dilaksana bagi mengelakkan sebarang kesulitan.

"Penyelarasan juga perlu dibuat oleh agensi pelaksana bagi sesuatu projek yang melibatkan pelbagai agensi bagi memastikan projek berjalan dengan lancar seterusnya pemantauan ke atas status pembangunan projek dapat dilaksana," tambah beliau.

Justeru, dalam konteks ini katanya, SPRM telah menjalankan pemeriksaan ke atas amalan, sistem dan prosedur pemberian pinjaman mudah ke atas projek NFC.

Jelas beliau, pemeriksaan juga dibuat melibatkan beberapa agensi kerajaan seperti Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Kementerian Kewangan, Menteri Besar Diperbadankan dan syarikat NFCorp Sdn Bhd.

Pihaknya juga percaya Kementerian Kewangan telah mengambil langkah-langkah sewajarnya bagi memperketatkan sistem dan prosedur menambah baik agar isu ini tidak berulang di masa hadapan.

Tiada ulasan: