Sabtu, 9 Jun 2012

Sidang Dewan Rakyat tidak halang bubar Parlimen

SINAR HARIAN

Sidang Dewan Rakyat tidak halang bubar Parlimen
 
Menjelang PRU 13 
 
 
KUALA LUMPUR - Parlimen boleh dibubarkan pada bila-bila masa termasuk ketika persidangan Dewan Rakyat sedang berlangsung untuk memberi laluan kepada pilihan raya umum diadakan, kata Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
  
Beliau berkata tidak ada peruntukan dalam Perlembagaan, undang-undang atau Peraturan Urusan Mesyuarat Parlimen yang menghalang Perdana Menteri untuk membubarkan Parlimen pada bila-bila masa.
  
Malah, katanya, pembentangan Belanjawan 2013 yang dijadual pada 28 Sept ini bukan indikasi penting bagi pembubaran Parlimen kerana Perdana Menteri boleh membuat pengumuman itu sebelum atau selepas pembentangan itu, sekiranya beliau mendapat 'ilham'.
  
"Cuma kesannya pada rang undang-undang, contohnya jika rang undang-undang belanjawan telah dibentang dan sesi perbahasannya masih belum selesai apabila pembubaran Dewan Rakyat diumumkan, perbahasan rang undang-undang itu terpaksa ditangguhkan.
  
"Tetapi rang undang-undang tidak akan pupus, ia masih sah dan boleh diteruskan perbahasannya pada sidang mesyuarat selepas pilihan raya kelak, tanpa perlu dibentang semula" katanya.
 
Beliau berkata demikian ketika dihubungi Bernama bagi mengulas mengenai prosedur Dewan Rakyat sekiranya pembubaran Parlimen diumumkan ketika sesi mesyuarat sedang berjalan.
  
Prosedur itu, menurut Wan Junaidi terpakai kepada semua rang undang-undang yang belum diluluskan semasa pembubaran Parlimen.
  
Bagaimanapun, dalam situasi kerajaan bertukar, kerajaan atau menteri kewangan baharu berhak membentangkan semula belanjawan mereka menurut idea sendiri mengenai apa yang hendak dibelanjakan, kata Wan Junaidi.
  
Persidangan Dewan Rakyat akan kembali bersidang bermula Isnin ini dan dijadual berlangsung selama 12 hari.
  
Persidangan seterusnya dijadual dari 24 Sept hingga 27 Nov, dengan tumpuan utama kepada perbentangan Belanjawan 2013 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
  
Dengan 'demam pilihan raya' yang semakin hangat, sudah timbul spekulasi bahawa Najib akan mengumumkan pembubaran Parlimen ketika Dewan Rakyat kali ini masih dalam sesi.
  
Sejarah seumpamanya pernah dilakar bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengumumkan pembubaran Parlimen ketika Dewan Rakyat bersidang bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-10 pada 1999.
  
Dalam pada itu, berdasarkan Aturan Urusan Mesyuarat Dewan Rakyat pada 11 Jun, sebanyak empat rang undang-undang telah disenarai untuk dibentangkan bagi bacaan kali kedua iaitu Rang Undang-undang Pelindung (Pindaan) 2012 yang akan dibentangkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.
  
Rang Undang-undang Profesion Undang-undang (Pindaan) 2012 (Jabatan Perdana Menteri), Rang Undang-undang Perubatan (Pindaan) 2012 (Kementerian Kesihatan) dan Rang Undang-undang Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2012 (Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar). - Bernama

Tiada ulasan: