Khamis, 28 Jun 2012

RM3 bilion: SPRM nafi panggil sesiapa

Wartawan Sinar Harian

RM3 bilion: SPRM nafi panggil sesiapa
Abu Kassim
 
 
KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan dakwaan mengatakan badan itu akan memanggil individu tertentu untuk menyiasat kes Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung pemilikan 20 akaun induk berjumlah RM3 bilion.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abu Kassim Mohamed berkata, sebelum ini, pihaknya tidak pernah mengeluarkan apa-apa kenyataan berkaitan kes itu.

“Setahu saya, kita (SPRM) tak pernah kata nak panggil sesiapa siasat kes terbabit.

“Malah kita juga tidak pernah beritahu sama ada akan siasat semula atau tidak berhubung kes berkenaan,” katanya selepas menyerahkan Laporan Tahunan SPRM 2011 kepada Pengerusi Jawatankuasa Khas Tentang Rasuah, Datuk Seri Mohd Radzi Sheikh Ahmad, semalam.

Abu Kassim berkata, semua pihak perlu faham bahawa siasatan sesuatu kes hanya akan dijalankan atau dibuka semula, jika terdapat bukti baru yang benar-benar kukuh.

“Jika bukti itu jelas, baru kita akan tentukan sama ada terdapat keperluan membuka siasatan semula atau tidak,” katanya.

Sebelum ini, Anwar pernah menyatakan kesediaan disiasat SPRM, jika kes berhubung pemilikan aset berjumlah RM3 bilion itu dibuka semula.

Terbaru, Pas juga menyatakan pendirian bahawa parti itu tidak ada masalah untuk memberi ruang kepada SPRM untuk menyiasat Anwar berhubung kes itu.

Tiada ulasan: