Selasa, 12 Jun 2012

Rakyat Malaysia Boleh Lawat Rusia Tanpa Visa Tidak Lama Lagi




KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia bersedia untuk menikmati lawatan tanpa visa ke Rusia, sekali gus meningkatkan peluang mereka untuk bercuti di Eropah.

Rundingan bersama Moscow bagi pengecualian visa, yang bermula sejak kira-kira lima tahun lalu kini melalui peringkat akhir.

Pelancong Rusia boleh bersedia melawat Malaysia tanpa visa dan menetap sehingga 30 hari.

Duta Rusia ke Malaysia, Lyudmila G. Vorobyeya berkata, kerajaannya sedang berusaha untuk memuktamadkan perjanjian dua hala dengan Malaysia.

“Perbincangan telah membuahkan hasil dan kita akan mengadakan satu perjanjian tidak lama lagi. Ia akan menjadi satu pencapaian yang penting untuk kita,” kata duta itu dalam satu temubual sempena sambutan Hari Rusia ke-20 pada Isnin.

Kira-kira 16,000 rakyat Malaysia berkunjung ke Rusia manakala 40,000 rakyat Rusia ke Malaysia pada tahun lalu.

Rakyat Malaysia perlu memohon visa dengan mengemukakan pakej pelancongan atau surat jemputan ke Kedutaan Rusia, dengan tempoh proses sehingga seminggu.

Pada masa ini, rakyat Malaysia boleh memasuki kesemua 27 negara Kesatuan Eropah (EU) tanpa visa (sehingga 90 hari) untuk tujuan bukan kerja serta empat negara bukan EU yang menganggotai sistem Schengen (Norway, Switzerland, Iceland dan Liechten-stein).

Vorobyeya berkata, Malaysia perlu meneroka pasaran pelancongan Rusia yang besar, sambil menambah terdapat kira-kira sejuta rakyat Rusia berkunjung ke Thailand dan 200,000 warganegara itu ke Vietnam dan Indonesia pada tahun lepas.

“Saya percaya Malaysia mempunyai lebih banyak tempat semulajadi yang menarik untuk ditawarkan kepada pelancong Rusia. Sabah, Sarawak dan Langkawi merupakan destinasi yang sering menjadi perhatian,” kata beliau, sambil menambah bahawa lawatan Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr Ng Yen Yen ke Rusia pada tahun lalu menjadi perintis bagi mengadakan kerjasama dalam pelancongan.

Duta itu turut berkata, satu mekanisme suruhanjaya bersama akan ditubuhkan pada tahun ini bagi menyediakan platform untuk merapatkan lagi hubungan dua hala.

Dari segi pendidikan, Vorobyeya menggesa pelajar Malaysia untuk meninjau kursus-kursus selain program ijazah perubatan seperti gas dan minyak serta kejuruteraan pesawat.

“Rusia mengekalkan standard yang tinggi dalam pendidikan dan terdapat faktor yang berbaloi boleh dipertimbangkan,” katanya.

Tiada ulasan: