Khamis, 7 Jun 2012

Rais: Parti politik boleh bentang manifesto di RTM

Koh Jun Lin


 
Kabinet telah meluluskan cadangan Kementerian Penerangan untuk memberi akses media yang sama rata kepada parti-parti politik untuk membentangkan manifesto mereka, kata Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Rais Yatim.

Katanya, sebaik sahaja Parlimen dibubarkan atau kempen pilihan raya bermula, parti politik daripada kedua-dua belah pihak, akan dapat mengemukakan manifesto mereka melalui RTM dan penyiar lain.

Bagaimanapun, katanya, had masa dan syarat akan ditetapkan oleh pihak berkuasa, sambil menambah bahawa beliau tidak perlu menghuraikannya sekarang.

Mengenai peranan stesen penyiar swasta pula, Rais berkata ia akan dibuat melalui keputusan kerajaan dan hak-hak yang diberikan oleh undang-undang yang sedang dikemaskini.

Menurutnya, isu tersebut akan dihuraikan dengan cara yang telus dan boleh difahami oleh semua pihak.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat selaras dengan Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kebebasan bersuara, dan selaras dengan 22 syor jawatankuasa pilihan parlimen (PSC) untuk reformasi sistem pilihan raya.

PSC dalam cadangannya, dan BERSIH dalam tuntutan kelapannya, meminta liputan media yang adil bagi semua parti politik sebagai salah satu langkah yang diperlukan untuk memastikan pilihanraya yang adil.

Di samping itu, katanya, kabinet telah mengambil kira amalan Komanwel dan negara-negara maju berhubung perkara ini, seperti stesen penyiar British, BBC yang memperuntukkan 10 hingga 15 minit untuk pembentangan manifesto semasa pilihan raya, tertakluk kepada terma dan syarat.

Ini juga diamalkan di Singapura, Thailand dan Burma, dan diterima oleh banyak pihak, kata Rais di majlis perasmian bangunan baru enam tingkat RTM - 'Wisma Berita' - yang akan menempatkan kira-kira 600 petugas Bahagian Berita Hal Ehwal Semasa di ibupejabatnya di Bukit  Angkasapuri.

Bagaimanapun, sebagai stesen penyiar kerajaan, katanya, RTM akan memberi keutamaan kepada kerajaan, tetapi ia masih perlu memberi ruang kepada rakyat dan pihak berkepentingan yang lain, dan membenarkan parti-parti politik membentangkan manifesto mereka adalah salah satu cara untuk mencapainya.

Tiada ulasan: