Rabu, 13 Jun 2012

Rafizi dijangka bertanding di Pandan pada PRU13


Rafizi Ramli: Tulang belakang dalam pendedahan skandal Pusat Fidlot Nasional. — Foto fail
 
 
PANDAN— Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli yang menjadi tulang belakang dalam pendedahan skandal Pusat Fidlot Nasional (NFC) dijangka akan berhadapan dengan Datuk Seri Ong Tee Keat dalam pilihan raya umum akan datang dalam merebut kerusi Parlimen Pandan.
 Nama beliau secara tidak sengaja telah disebut dalam ceramah malam tadi oleh pemimpin PKR Datuk Dr Tan Tee Kwong sewaktu ceramah di kawasan Pandan, dan penduduk di kawasan berkenaan kemudiannya mula bersalaman dan mengambil gambar dengannya.

Rafizi bagaimanapun tidak mengesahkan perkara berkenaan pencalonan tersebut, namun beliau menjelaskan telah menghabiskan masa sekitar tujuh bulan kebelakangan ini di kawasan Pandan dengan PKR.

Rafizi berkata, jika beliau dipilih sebagai calon di Pandan menentang Ong, beliau akan cuba menentang bersungguh-sungguh, yang mana menurutnya “agak menakutkan, sebenarnya.”

“Beliau (Ong) mempunyai sokongan yang kuat (di Pandan) - kami perlu mengakuinya, namun saya yakin beliau tidak akan mampu bertahan dalam tsunami selepas ini,” katanya.

Ong (kanan) merupakan bekas presiden MCA yang dijangka mempunyai peluang yang besar untuk menang pada pilihan raya umum akan datang.

Bekas Menteri Pengangkutan itu sangat popular di kawasan Pandan dan merupakan antara beberapa nama besar MCA yang berjaya memenangi kerusi selepas tsunami politik pada 2008.

Menurut Rafizi, ia hanyalah “kesesuaian” yang menyebabkan Ong mampu mendapatkan kerusi di Pandan, dan menambah lebih 60,000 pengundi di kawasan berkenaan mengundi berdasarkan garisan perkauman.

Beliau menjelaskan PKR telah memenangi undi Melayu, dengan segmen terbesar masyarakat Cina di Pandan mengundi untuk Ong dan Adun Teratai, Jenice Lee dari DAP.

“Jika dilihat kerusi Adun dan Parlimen, Pakatan Rakyat (PR) memperolehi hampir 10,000 undi majoriti dalan (dua) kerusi negeri, tapi kita tewas 2,000 undi di kerusi Parlimen.

“Jadi jelas dilihat adakah ia sebab Ong, ataupun perkauman?

“Selepas bekerja keras selama tujuh bulan ini di Pandan, saya fikir ia bukan sebab Ong. Ia berpunca daripada garisan perkauman dan kesesuaian,” katanya.

Rafizi mengingatkan pada 2008, PR baru ditubuhkan dan PAS, PKR, dan DAP telah berkempen secara berasingan.

Dengan memastikan jentera pilihan raya ketiga-tiga parti bekerjasama kali ini, PKR akan berpeluang untuk menawan Pandan daripada Ong.

Rafizi menegaskan, teknik untuk mendapatkan undi adalah dengan memberikan penerangan meluas kepada penduduk Pandan, iaitu perubahan kerajaan persekutuan.

“Ong menggunakan isu tempatan, sampah, jalan raya, dan sebagainya. Namun silap jika PR ikut langkah beliau.

“Sudah tentu beliau akan bercakap mengenai “track record” beliau. Ini bukan sebab Ong Tee Keat. Ini adalah berkenaan gambaran yang lebih luas.

Rafizi turut menjelaskan beliau akan bertanding secara “underdog”, selepas 22 tahun memerintah, nama Ong sudah menjadi sangat sinonim dengan komuniti Cina.

Kawasan Pandan adalah kerusi campuran yang mengandungi 55 peratus bukan Melayu dengan pengundi di bawah umur 40 merupakan lebih separuh daripada pengundinya.

“Ini sebabnya, ia berdasarkan demografi, Pandan sangat sesuai untuk Pakatan. Ia kerusi campuran. Pendidikannya bagus, saya rasa ia akan jadi persaingan sengit,” katanya.

Tiada ulasan: