Isnin, 25 Jun 2012

Rafizi: 'Betul, saya nak tumpu PRU13'

Jamilah Hamzah

Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli
Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli
 
 
SHAH ALAM - Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli mengakui beliau terpaksa melepaskan jawatan Ketua Eksekutif Pejabat Penasihat Ekonomi Selangor minggu lalu semata-mata untuk membuat persediaan bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Kata Rafizi, beliau ingin memberi fokus sepenuhnya ke atas PRU yang bakal dilangsungkan, di peringkat kerusi yang ditandinginya kelak dan juga atas kapasiti Pengarah Strategi PKR melibatkan partinya di peringkat nasional.

Beliau dijadual mengadakan sidang media khas menjawab pelbagai persoalan mengenai keputusannya melepaskan jawatan itu esok.
Rafizi turut berkata, beliau bakal ditempatkan di kawasan yang telah dipersetujui ketika PRU13 dan perlu bekerja keras untuk itu.

"Betul, saya nak tumpukan ke atas PRU yang akan berlangsung tak beberapa lama lagi, yang memerlukan saya bekerja kuat sepanjang minggu (menjelang pilihan raya).

"Kalau dulu saya hanya buat kerja untuk parti secara sambilan, tapi sekarang ceramah sepanjang minggu," kata beliau ketika dihubungi Sinar Harian Online sebentar tadi.

Menurut beliau lagi, dakwaan Umno kononnya wujud perselisihan faham dan berbalah dengan pemimpin-pemimpin PKR adalah tidak benar.

"Dakwaan Umno sama sekali tak betul, rakyat boleh tengok dalam tempoh satu hingga dua minggu lagi keretakan yang didakwa mereka tak akan berlaku," katanya.

Dalam pada itu, Rafizi juga berkata, beliau mengambil keputusan secara mengejut tersebut kerana tidak mahu ada pihak yang akan menghalang keputusan peribadainya itu.

"Saya ambil keputusan ini kerana tak nak orang halang keputusan  saya nanti. Ini keputusan peribadi saya dan harap semua orang akan sokong dengan keputusan ini," katanya lagi.

Semalam, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menjelaskan, punca Rafizi meletak jawatan sebagai Ketua Eksekutif Pejabat Penasihat Ekonomi Selangor kerana mahu memberi tumpuan penuh terhadap perancangan untuk bertanding pada PRU13.

“Beliau berusaha menjadi Ahli Parlimen, oleh itu, beliau tidak mahu banyak persoalan yang timbul, dan mahu bertindak secara individu,” katanya kepada media, semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas peletakan jawatan Rafizi yang dikatakan ada kaitan dengan dakwaan wujud krisis dalam pentadbiran Kerajaan Negeri.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri dan Rafizi tidak mempunyai sebarang krisis kerana kedua-duanya bertindak secara profesional.

Abdul Khalid berkata, Rafizi mahu menjadi seseorang yang bebas menyuarakan pendapat dan tidak lagi terikat sebagai kakitangan Kerajaan Negeri.

Tiada ulasan: