Selasa, 12 Jun 2012

PTPTN: S’gor tahu urus wang awam

 
Menteri Besar berkata sekiranya tindakan sedemikian (pembekuan pinjaman PTPTN) berulang maka langkah terbaik adalah dengan menukar Kerajaan Pusat.



SHAH ALAM: Kerajaan negeri Selangor mempunyai pendekatan tersendiri untuk mengatasi tindakan drastik Kerajaan Persekutuan membekukan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada mahasiswa baru di Universiti Selangor (Unisel) dan Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis).

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata sekiranya tindakan sedemikian (pembekuan pinjaman PTPTN) berulang maka langkah terbaik adalah dengan menukar Kerajaan Pusat.

“Pendekatan lain yang turut ditekankan kerajaan negeri adalah dari segi memahami selok belok perniagaan berasaskan pendidikan dan kerajaan negeri tahu bagaimana hendak mengurus tadbir wang awam dengan berhemah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan ‘Conference Building Integrity in the Public and Private sector d Shah Alam Convention Centre hari ini.

Ujar Abdul Khalid, “apabila kita menjalankan perniagaan pendidikan, sumber kewangan kita datangnya dari yuran para pelajar dan sumber itu perlu digunakan dengan lebih efisyen.

Lebih matang 

“Kerajaan negeri lebih matang dalam menangani isu ini walaupun Kerajaan Pusat mengatakan pihaknya hanya hendak menguji.

“Kita dah matang dah capai level itu. Ini isu integriti dan (Kerajaan Persekutuan) jangan bermain dengan polisi. Sedangkan kita kumpul duit rakyat maka kita harus menguruskannya dengan baik dan lebih telus,” katanya.

Kerajaan negeri mensasarkan kecairan tunai sebanyak RM30 juta dapat dihasilkan dari penjualan aset hartanah seluas 500 ekar yang diperolehi berikutan penyusunan semula hutang-hutang Talam Corporation Berhad.

Wang tunai ini boleh membantu mahasiswa baru Unisel dan Kuis yang dihalang dari mendapat pinjaman PTPTN walaupun kemudiannya pembekuan pinjaman itu ditarik balik oleh Kerajaan Persekutuan.

Minggu lalu, Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pembekuan sementara PTPTN sekadar untuk menilai sama ada betul atau tidak Pakatan Rakyat mahu melaksanakan pendidikan percuma.

Mohamed Khaled berkata, pihaknya mahu Pakatan kotakan janji memberi pendidikan percuma di institut pengajian tinggi yang ditadbir mereka tetapi ternyata apa yang dilaungkan sekadar janji kosong.

Tiada ulasan: