Ahad, 24 Jun 2012

Projek rumah YBU bantu golongan daif


Wadah ilham Menteri Besar Perak berperanan melaksanakan agenda pembasmian kemiskinan secara serius dan sistematik.

 

Oleh Zuhafizah Ahmad Zaki


IPOH: Keprihatinan kerajaan negeri Perak pimpinan Barisan Nasional (BN) terhadap keperluan asas dan keselesaan rakyat kian

terserlah melalui usaha murni projek Perumahan Infra Bina Upaya yang membantu membina dan membaik pulih rumah golongan kurang mampu.

Yayasan Bina Upaya (YBU) merupakan wadah yang diilhamkan Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, berperanan melaksanakan agenda pembasmian kemiskinan secara serius dan sistematik.

Antara bantuan yang giat dilaksanakan di seluruh pelosok negeri adalah projek perumahan itu yang telah memperbaiki kehidupan banyak penerima daripada pelbagai kaum, sekaligus membuktikan komitmen kerajaan BN yang mengotakan janji mengeluarkan masyarakat daripada kemiskinan.

Program bantuan perumahan ini terbahagi kepada dua kategori iaitu pembinaan rumah baru – rumah sebilik, dua atau tiga bilik – dan baik pulih rumah pula diberikan dalam kes seperti kerosakan rumah akibat bencana alam.

Mohd Isa Mad, 47, menyifatkan bantuan baik pulih rumah yang diterimanya sebagai satu anugerah kepada keluarganya yang tidak mampu mencari wang lebih untuk membaiki rumah mereka yang terjejas akibat kebakaran baru-baru ini.

“Alhamdulillah syukur… saya buntu selepas satu-satunya rumah yang kami ada terjejas dalam kebakaran. Walaupun tidak teruk, tetapi keadaan tiang yang sudah rentung akan mengundang bahaya dan akan roboh pada bila-bila masa,” katanya.

Beliau berkata dengan bantuan itu, isteri dan anak-anaknya dapat tidur lena tanpa risau sebarang kejadian tidak diingini berlaku pada rumah mereka di Parit 6, Layang-Layang Kiri di Parit dekat sini.

Penerima bantuan rumah baru, Habibah Sani, 43, berkata berita mengenai pembinaan rumah barunya di kampung yang sama ibarat ‘bulan jatuh ke riba’ dan melahirkan terima kasih kepada kerajaan negeri pimpinan BN.

“Saya tidak menyangka saya akan menerima bantuan rumah baru bagi menggantikan rumah saya yang telah lama terbengkalai dahulu akibat ketiadaan wang. Saya rasa macam bermimpi… saya tak sangka saya antara mereka yang bertuah untuk menerima sumbangan yang sangat besar ini,” katanya dalam nada sebak dan gembira.

Tong Chan Choy, 56, yang menerima bantuan rumah baru tiga bilik di Pasir Pinji di sini turut menyifatkan bantuan itu membuka lembaran baru dalam kehidupannya bersama-sama lima anaknya yang masing-masing berusia 15 hingga 27 tahun.

Rasa bertuah 

“Saya tidak sangka kerajaan negeri berusaha mendapatkan tempat berlindung yang selesa kepada kami berbanding tempat tinggal sebelum ini yang sudah uzur dan daif,” katanya, sambil mengucapkan terima kasih kepada Zambry dan YBU.

“Terima kasih Dr Zambry kerana betul-betul jaga rakyat…kami betul-betul rasa selesa dan bertuah tinggal di bawah kepimpinan negeri seperti ini yang betul-betul prihatin dengan nasib rakyat,” katanya.

Penderitaan dua beranak yang hidup di rumah usang dan hampir roboh di Kampung Melayu, Sungai Rapat di sini juga akhirnya mendapat pembelaan kerajaan negeri dengan inisiatif YBU.

Mohd Ramli Abdul Hamid, 89, tinggal bersama anaknya serta seorang anak angkatnya yang merupakan mualaf juga bersyukur atas bantuan itu selepas YBU mendapati beliau layak diberikan bantuan rumah dua bilik di bawah projek Perumahan Infra bernilai RM30,000.

“Mujurlah mendapat bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM300 dan hanya itulah wang untuk menampung perbelanjaan harian,” katanya pernah bertugas sebagai penterjemah di akhbar Utusan Melayu Singapura selain tugas-tugas menterjemah dokumen di jabatan-jabatan kerajaan negara itu.

Timbalan Pengerusi YBU Khairul Azwan Harun berkata penerima bantuan projek Perumahan Infra ini hanya tertumpu kepada golongan sasar YBU seperti ibu tunggal, miskin, miskin tegar, orang kelainan upaya dan Orang Asli.

Pada tahun ini, YBU telah diperuntukkan sebanyak RM4 juta dan masih memerlukan dana tambahan sebanyak RM2 juta bagi bantuan projek berkenaan.

“Setiap rumah baru yang dibina bernilai RM30,000 dan bagi bantuan membaik pulih rumah pula adalah sebanyak RM15,000 kepada setiap penerima yang layak,” katanya.

Beliau berkata sepanjang YBU diperkenalkan dan beroperasi selama tiga tahun sejak 2010, hampir 500 buah rumah baru dan rumah dibaik pulih telah dilaksanakan di seluruh negeri Perak.

Projek Perumahan Infra Bina Upaya merupakan usaha kerajaan negeri pimpinan BN mewujudkan rumah mampu milik yang lebih selesa sebagai tempat tinggal tanpa mengira batasan agama dan kaum.

Apa yang penting kepada kerajaan negeri adalah agar rakyat mendapat sebuah harapan baru dan menikmati kehidupan asas yang berkualiti dan seterusnya dapat membasmi kemiskinan secara lebih bersungguh-sungguh dan sistematik selaras dengan gagasan 1Malaysia dan Perak Amanjaya.
- Bernama

Tiada ulasan: