Jumaat, 1 Jun 2012

PKR gesa SPRM buka siasatan kes Scorpene

 
Satu memorandum diserahkan kepada SPRM petang ini berhubung kewujudan unsur rasuah dan salah guna wang rakyat dalam pembelian dua buah kapal selam tersebut.




SHAH ALAM: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diingatkan agar tidak bersikap selektif dan berlaku adil dalam membuka siasatan yang melibatkan pimpinan tertinggi kerajaan.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Shamsul Iskandar Mohd Akin terus mendesak agar SPRM membuka siasatan kes mengenai pembelian dua buah kapal selam Scorpene yang didakwa melibatkan pimpinan tertinggi kerajaan dengan syarikat pertahanan milik kerajaan Perancis.

Maka satu memorandum diserahkan kepada SPRM di sini petang ini berhubung kewujudan unsur rasuah dan salah guna wang rakyat dalam pembelian dua buah kapal selam tersebut.

Shamsul berkata, memorandum itu turut merujuk kepada pendedahan penting badan bukan kerajaan (NGO) Suara Rakyat Malaysia (Suaram) bersabit dokumen komisyen sebanyak USD1 bilion didakwa diminta Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak serta beberapa individu terkemuka lain.

Ia termasuklah kos penyelenggaraan tinggi yang dijelaskan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang hampir mencecah RM1 bilion sedangkan kapal selam berkenaan tidak bersenjata.

“SPRM jangan memperjudikan kredibiliti mereka pada persepsi rakyat kerana SPRM sendiri membuka ruang untuk dilihat berat sebelah dengan penutupan kes Ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dalam skandal National Feedlot Corporation.

“Kes yang mempunyai kredibiliti kuat untuk didakwa melibatkan hubungan keluarga mempengaruhi kepentingan keputusan kerajaan tetapi ditutup SPRM tanpa alasan kukuh,” katanya.

SPRM sebagai alat

Merujuk kepada kes siasatan yang melibatkan Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali pula, Shamsul menyifatkan SPRM sebagai alat kepada pemerintah.

Katanya, kuasa yang diperuntukan kepada SPRM tidak wajar digunakan sewenang-wenangnya untuk melakukan pendakwaan terpilih khususnya ancaman politik Umno-Barisan Nasional.

“Ini melucukan, saat mantan Ketua Pengarah Badan Pencegah Rasuah (BPR) bertanggungjawab pada waktu itu, Datuk Shafee Yahya secara terbuka menafikan wujudnya salahguna kuasa oleh Azmin,” ujar beliau. Memorandum itu diserahkan kepada Penolong Penguasa SPRM, Azlin Ahmad.

Turut hadir adalah Ketua AMK Selangor, Azmizam Zaman Huri serta beberapa anggotanya yang lain.

Tiada ulasan: