Rabu, 27 Jun 2012

Peserta PLKN mati, kerajaan BN lepas tangan

Roketkini.com




KUALA LUMPUR: Kerajaan Barisan Nasional dilihat lepas tangan terhadap hal pampasan kematian pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN), A.Tamilarasi, akibat demam panas pada 25 April lalu.

Ahli Parlimen DAP Teluk Intan, M.Manogaran berkata, kenyataan yang diberikan oleh Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara, Datuk Abdul Hadi Awang Kechil, bahawa syarikat insuran hanya membayar ganti rugi kepada peserta kem latihan jika mereka meninggal semasa sedang menjalani latihan, dilihat sebagai satu kenyataan yang tidak boleh diterima.

“Kenyataan tersebut tidak menyakinkan ibu bapa untuk menghantar anak mereka untuk menjalani kursus PLKN,” ujar beliau di dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Manogaran turut menyatakan kekesalan beliau terhadap terma dan syarat insurans yang meletakkan syarat bahawa sebanyak pampasan berjumlah RM50,000 hanya diberikan sekiranya kematian berlaku tidak lebih dari 130 jam meninggalkan kem latihan.

“Saya melihat syarat ini tidak wajar kerana ada sesetengah penyakit yang dialami oleh peserta semasa di dalam kem akan mengambil masa yang lebih lama.

“Apa yang berlaku ialah mendiang A.Tamilarasi telah jatuh sakit semasa menjalani latihan sebelum dibawa keluar dan koma,” katanya.

Ahli Parlimen DAP Seremban John Fernandez pula berkata, ini sudah menjadi isu nasional kerana telah melibatkan sejumlah kematian yang sepatutnya tidak berlaku.

Ahli Parlimen DAP Kota Melaka Sim Tong Him pula mahu kerajaan menyelesaikan kes Tamilarasi dengan cepat dan adil serta mendesak kerajaan supaya serius menangani kes-kes yang menyebabkan ramai ibu bapa bimbang untuk menghantar anak-anak mereka menyertai PLKN.

Program Latihan Khidmat Negara telah menelan belanja sebanyak RM 4.36 bilion sejak ia mula diperkenalkan. Sebanyak 19 kematian dan 23 kecacatan kekal telah dilaporkan terjadi sewaktu program PLKN sejak tahun 2004 hingga tahun 2012. – Roketkini.com

Tiada ulasan: