Sabtu, 16 Jun 2012

Peruntukan Geran Selangorku diragui

Wartawan Sinar Harian

Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo
 
 
SHAH ALAM - Peruntukan Geran Selangorku bernilai RM300 juta disediakan oleh Kerajaan Negeri di bawah pimpinan Pakatan Rakyat (PR) didakwa tidak mengikut prosedur yang ditetapkan.

Bekas Menteri Besar, Dr Mohamad Khir Toyo mendakwa, peruntukan tersebut dilakukan tanpa merujuk kepada Setiausaha Kerajaan Negeri dan Pegawai Kewangan Negeri.

“Mengikut prosedur, setiap peruntukan Kerajaan Negeri, ia perlu melalui pegawai kewangan negeri. Bagaimanapun, saya dimaklumkan mereka tidak ikut kelulusan tersebut, sebaliknya, ia berdasarkan keputusan menteri besar saja.

“Malah, pegawai kewangan yang telah dilatih untuk menyelia kewangan negeri tidak terlibat langsung dalam peruntukan tersebut,” katanya ketika kepada Sinar Harian, semalam.

Dr Khir yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Panjang berkata, jika proses itu tidak dipatuhi, beliau khuatir peruntukan tersebut boleh disalah guna untuk tujuan politik tertentu.

Beliau turut mendakwa, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menggunakan peruntukan itu untuk mengukuhkan kedudukannya dalam Selangor kerana Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ijok itu tidak mempunyai jawatan  dalam PKR. April lalu, menerusi tulisannya di blog www.drkhir.com, beliau berkata, berdasarkan carta aliran pemberian geran itu, Abdul Khalid berkuasa secara berseorangan untuk memutuskan siapa yang mendapat kontrak.

Dr Khir berkata, senarai Jawatankuasa Pengurusan Geran Selangorku itu juga sebahagian besarnya dianggotai oleh pegawai Abdul Khalid di pejabat menteri besar dan Perbadanan Menteri Besar (MBI).

Pada 26 Mac lalu, bekas Exco Kerajaan Negeri, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali mempersoalkan dana RM300 juta di bawah Geran Selangorku yang dikatakan tidak direkodkan di dalam akaun MBI.

Menurutnya, keadaan itu menimbulkan keraguan tentang bagaimana program-program di bawah geran tersebut dilaksanakan sekiranya dana berkenaan tidak diletakkan di bawah akaun MBI.

Dalam perkembangan lain, Dr Khir turut menafikan dakwaan Umno Selangor terlibat dalam cubaan membeli wakil rakyat PR sebelum ini, sebaliknya beliau mendakwa, kenyataan itu merupakan helah untuk memburuk-burukkan mereka.

“Zamil Ibrahim sebelum masuk Kita (Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air) adalah orang PKR dan tidak pernah terlibat dengan Umno. Saya pun tak faham kenapa orang bukan Umno terlibat dalam beli wakil rakyat PR,” katanya.

Kelmarin, pembangkang menunjukkan rakaman daripada kamera litar tertutup (CCTV) yang mengandungi perbincangan antara lima orang di sebuah restoran di sekitar Lembah Klang, setahun lalu.

Pertemuan itu melibatkan dua wakil Ahli Parlimen PR dan dua ejen mewakili Barisan Nasional (BN) serta seorang pemandu kepada ejen. Mereka dikatakan membuat tawaran bernilai RM2 juta sekiranya Ahli Parlimen PR keluar parti.

Tiada ulasan: