Khamis, 7 Jun 2012

Penyenaraian FGVH: Anak isytihar ‘perang’, rancang himpunan besar

Oleh Aedi Asri


KUALA LUMPUR: Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) mengisytiharkan ‘perang’ kepada kerajaan Umno BN dan Felda Global Venture Holdings (FGVH) kerana kedegilan mereka meneruskan penyenaraian di Bursa Malaysia.



Pengerusi Anak, Mazlan Aliman berkata, ia berikutan keengganan mereka berbincang dan mendengar pendapat mereka yang membantah penyenaraian itu.

“Ini adalah kenyataan ekstrem, dan saya bertanggungjawab sepenuhnya,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PAS, di ibu negara hari ini.

Menurut Mazlan, pelbagai usaha mengikut saluran undang-undang dibuat seperti memohon injunksi mahkamah, menghantar memorandum dan surat rasmi, namun tidak mendapat sebarang maklum balas dari pihak terlibat.

“Mereka begitu angkuh dan tidak berminat untuk berbincang, atau sekurang-kurangnya dengar (pendapat kami).

“(Justeru) kita akan jalankan kempen yang lebih radikal termasuk anjurkan perhimpunan besar seperti perhimpunan anti-PPSMI (Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris) dan anti-ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri).

“Kita tiada pilihan lain kerana penyenaraian akan dimuktamadkan dalam masa tiga minggu lagi (28 Jun),” katanya lagi.

Pada 31 Mei lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak melancarkan prospektus FGVH di Bursa Malaysia, walaupun Suruhanjaya Sekuriti belum memuktamadkan penyenaraian FGVH.

Dua hari lepas, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri berkata, Tan Sri Isa Samad dikecualikan undang-undang kecil Koperasi Permodalan Felda (KPF) untuk menjadi anggota KPF.

KPF mensyaratkan anggotanya dari kalangan pekerja atau anggota peneroka.

Hadir sama dalam sidang media itu, Timbalan Gabenor Bank Negara, Dr Rosli Yaakob dan mantan Naib Presiden Kanan Felcra, Datuk Ramli Buyung.

Tiada ulasan: