Selasa, 19 Jun 2012

Pengurus kedai didakwa edar buku Irshad Manji

Hafiz Yatim


 
Seorang pengurus kedai buku Borders di pusat membeli belah Midvalley hari ini didakwa atas tuduhan mengedar buku Irshad Manji bertajuk Allah, Kebebasan dan Cinta yang diharamkan di Malaysia.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada Nik Raina Nik Abdul Aziz, selepas satu permohonan dibuat oleh peguam kedai buku Borders, Rosli Dahlan di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur pagi ini.

Ketua pendakwa syariah Kuala Lumpur, Ibrahim Deris mengetuai pasukan pendakwaan.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada 14 Jun lalu mewartakan Perintah Larangan Penerbitan terhadap buku Allah, Kebebasan dan Cinta dan edisi asalnya dalam bahasa Inggeris Allah, Liberty And Love karya penulis berkenaan.

Pada hari yang sama, sepasukan penguatkuasa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) menyerbu kedai buku berkenaan dan merampas tujuh naskhah buku tersebut dengan alasan bahawa kandungannya bercanggah dengan ajaran Islam.

Bukunya terdahulu, The Trouble With Islam Today turut diharamkan KDN kerana didapati mempropagandakan akidah, hukum dan ajaran yang turut bercanggah dengan fahaman mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Tiada ulasan: