AMPANG: Bimbang dengan keselamatan keluaga, bekas ketua kampung Kampung Pandan, Arshad Ahamad membuat satu laporan polis di IPD Ampang Jaya ekoran penemuan nama 15 individu meragukan yang di daftarkan di alamat rumahnya sebagai pengundi.
Berdasarkan semakan Daftar Pemilih 2011 yang dipaparkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), terdapat 19 nama yang didaftarkan dan hanya empat daripada mereka merupakan ahli keluarga Arshad di alamat no 10, Lorong C 8, Kampung Pandan.
Menurut Arshad, laporan ini dibuat bukan atas dasar politik sebaliknya bimbang keselamatan keluarga kerana khuatir alamat berkenaan digunakan untuk aktiviti jenayah.
Katanya, individu berkenaan tidak dikenali melainkan isteri dan tiga adik ipar beliau.
“Keraguan dan kebimbangan yang berlaku terhadap diri saya kalau alamat saya digunakan untuk aktiviti jenayah oleh mereka yang tidak bertanggungjawab. Keselamatan keluarga saya boleh tergugat memandangkan anak-anak saya masih bersekolah.
“Ini bukan masalah isu politik, saya merasakan ini adalah isu keselamatan,” katanya.
Menurutnya, pada tahun 2008 beliau membuat semakan yang sama dan tidak menemui nama individu yang meragukan.
Laporan polis sama turut dibuat oleh Ketua JKKK Kampung Pandan, Mahadi Ab Rashid yang turut bimbang keselamatan penduduk kampung ekoran perkara ini.
Dalam laporannya memberitahu, terdapat 30 nama didaftarkan di rumah yang tidak bernombor dan No 1, Lorong Kemajuan Kampung Pandan.
Sementara itu, Exco Selangor yang juga Adun Cempaka, Iskandar Abdul Samad memaklumkan, terdapat jumlah yang lebih tinggi di daftarkan di alamat lain seramai 43 orang.
Hasil semakan menemui, hanya lapan nama yang benar-benar mendaftar di alamat berkenaan dan selebihnya adalah nama meragukan.
Menurutnya, DUN Cempaka mempunyai 32,000 orang pengundi berdaftar pada tahun 2008 dan kini menyaksikan pertambahan 8,000 orang pengundi berdaftar menjadikan jumlah keseluruhan 40,000 orang.
Katanya nama-nama ini akan dipamerkan di tiga lokasi iaitu Pejabat JKKK Kampung Pandan, Pejabat Ahli Majlis Jalan Pandan Indah 3/2, Pandan Indah dan Pejabat Ahli Majlis Jalan pandan 4, Pandan Jaya.
“Kita bagi SPR tempoh sebulan untuk bertindak, kalau tidak kita akan pamerkan nama ini dan menawarkan RM50 kepada mereka yang mempunyai nama seperti yang dipaparkan untuk memberikan penjelasan.
“Kalau nama mereka masuk secara tidak sengaja, kita tidak ada masalah. Tapi yang bertanggungjawab kini adalah SPR,” katanya.
Ujar beliau lagi, tindakan bersepadu daripada Kerajaan Negeri akan dibuat sekiranya semua usaha ini gagal menemukan jalan penyelesaian bagi memastikan daftar pemilih dibersihkan sebelum PRU-13.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan