Ketua Penerangannya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, jaminan tersebut perlu bagi menghilangkan kebimbangan jemaah haji berhubung hak mereka sebagai pengundi.
"Perdana Menteri tidak seharusnya membiarkan hampir 30,000 umat Islam berada dalam situasi tidak menentu kerana sebahagian mereka ada dicadangkan sebagai calon, wakil calon dan pengarah pilihan raya," katanya dalam satu kenyataan pagi ini.
Malah kata beliau, selagi tiada jaminan, ia akan menyebabkan mereka serba salah antara meneruskan hasrat atau menangguhkannya dulu.
"Kalau mereka sebagai pengundi tidak seberat tekanan sekiranya dipilih sebagai calon, wakil calon dan pengarah pilihan raya. Tambahan pula, seandainya pilihan raya diadakan dalam musim haji ini bermakna kerajaan Umno menafikan hak 30,000 umat Islam untuk menunaikan hak demokrasi mereka untuk mengundi," katanya lagi.
Semalam, Ketua Penerangan Umno, Ahmad Maslan berkata, beliau kesal dengan kenyataan Pas kerana sebagai parti Islam, ia meletakkan pilihan raya lebih penting daripada ibadah haji yang merupakan Rukun Islam kelima.
"Kita tidak tahu bila pilihan raya, tapi dia sudah buat spekulasi sebegitu. Kita tidak boleh letak parti lebih dari agama. Jangan anggap parti ini agama. Itu perkara yang tidak betul. Tanyalah ulama mana sekali pun," katanya.
Ahmad yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri diminta mengulas laporan sebuah akhbar yang menyebut Tuan Ibrahim meminta angggotanya menangguhkan ibadah haji kerana parti itu menjangka pilihan raya umum diadakan pada musim haji antara September dan Oktober.
Tuan Ibrahim, yang membuat kenyataan itu menerusi portal rasmi kerajaan Selangor berkata, penangguhan ibadah haji itu dianggap wajar kerana Pas memerlukan jentera parti untuk melaksanakan gerak kerja semasa pilihan raya umum.
Ahmad berkata, Tuan Ibrahim sepatutnya memohon maaf dan menarik balik kenyataannya itu, yang menunjukkan Pas menjunjung pilihan raya melebihi agama.
Dalam kenyataannya hari ini, Tuan Ibrahim juga berkata, tindakan Perdana Menteri yang bermain teka-teki dalam rahsia tarikh pilihan raya telah menyebabkan banyak spekulasi terhadap apakah tarikh pilihanraya yang besar.
"Keadaan ini amat tidak sihat untuk negara kerana sangat mengganggu perancangan pelbagai pihak.
"Pas melihat kebimbangan Perdana Menteri untuk mengisytiharkan tarikh pilihan raya membuktikan bahawa prospek Pakatan Rakyat untuk menawan Putrajaya sudah menjadi satu kemungkinan yang boleh berubah menjadi realiti di sanubari BN," katanya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan