Ketua Penerangan PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mendakwa kenyataan berhubung penangguhan haji telah "diputarkan" oleh akhbar Umno Utusan Malaysia seolah-olah ia disaran untuk semua umat Islam di Malaysia.

NONEKatanya, dalam kenyataan yang asalnya dibuatnya kepada akhbar web kerajaan Selangor Selangorku 5 Jun lalu hanya merujuk kepada anggota anggota PAS yang terlibat langsung, iaitu calon atau agen parti seperti pengarah pilihan raya.

"Namun begitu, ia tidak hairan - selepas kontroversi PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional) yang menampar muka sendiri, jawapan-jawapan menteri di parlimen yang memang susah untuk ditonjolkan di muka depan, bertambah pula laporan-laporan antarabangsa mengenai isu Scorpene - mereka perlu mencari sesuatu untuk mengalih pandangan rakyat," katanya.

Tuan Ibrahim (atas) juga berkata, berdasarkan tarikh Belanjawan 2013 yang ditetapkan pada 28 April, sudah ada bayangan pilihan raya umum di musim haji akan berulang seperti tahun 1985 sebelum ini.

Berikut kenyataan penuh Tuan Ibrahim:

Isu tangguh haji masih hangat diperkatakan oleh media-media pro-Umno.

Kenyataan saya yang dibuat pada Jun 5 kepada Selangorku yang menyeru "ahli PAS yang terlibat secara langsung dalam pilihan raya" - dalam kata yang lebih spesifik - "calon atau wakil calon atau agen parti seperti pengarah pilihanraya" telah diputarkan seolah-olah ia ditujukan kepada semua umat Islam di Malaysia 8 hari kemudian oleh Utusan Malaysia.

Namun begitu, ia tidak hairan - selepas kontroversi PTPTN yang menampar muka sendiri, jawapan-jawapan menteri di parlimen yang memang susah untuk ditonjolkan di muka depan, bertambah pula laporan-laporan antarabangsa mengenai isu Scorpene - mereka perlu mencari sesuatu untuk mengalih pandangan rakyat.

Bajet 2013 yang disebut bajet pilihan raya akan diumumkan pada September 28. Tarikh Hari Raya Haji adalah 26 Oktober.

Sudah ada bayangan pilihan raya umum 1985 di musim haji bakal berulang.

Isu tangguh haji ini sebenarnya mudah - betulkah PRU13 akan diadakan di musim haji?

Masalahnya tiada yang tahu.

Apakah mungkin pilihan raya umum ke-13 (PRU13) diadakan di musim haji?

Masalahnya ialah mungkin.

Apakah yang perlu dilakukan jika PRU13 diadakan di musim haji?

'Ramai sudah haji dalam PAS'
Salahkan perdana menteri? Itu hak beliau, walaupun PAS memang membantah jika PRU13 diadakan di musim haji.

Adakah orang-orang Umno yang terlibat dengan PRU-13 akan pergi menunaikan haji? Calon, wakil calon dan agen parti seperti pengarah pilihan raya akan terus juga dengan niat menunaikan haji.

Tiada yang bertanya.

NONEWalhal, soalan yang patut difokuskan ialah wajarkah perdana menteri mengadakan pilihan raya di musim haji?

Jawapannya jelas tidak.

Apakah jaminan ia tidak berlaku?

Tiada. Sebab itu PAS mendesak perdana menteri bagi jaminan. Dan tekankan "sekiranya" Umno demi untuk menang, mengadakan PRU di musim haji, ahli PAS yang terlibat terus dengan PRU13 yakni "calon atau wakil calon atau agen parti seperti pengarah pilihan raya" disarankan tangguh haji.

Golongan ini dalam PAS, ramai yang sudah menunaikan haji - mereka adalah veteran. Dalam Umno tak pasti pula.

Isu ini adalah mudah.

Kalau yang cadang tu ialah timbalan perdana menteri atau menteri Umno tentu keadaan dan komentar akan berubah menyokong habis-habisan. Jadi isunya bukan menangguhkan haji sebenarnya siapa yang buat cadangan itu.

Tekanan pada perdana menteri

Tapi Umno merumitkannya kerana ia tahu, isu sebenar memberi tekanan kepada perdana menteri untuk menyatakan satu tarikh pilihanraya.

Segalanya akan selesai jika tarikh pilihanraya diketahui lebih awal.

Tiada yang risau ingin menunaikan haji.

azlanTiada yang risau masa bercuti mereka sama dengan tarikh pilihan raya.

Bahkan, untuk seluruh warga yang bekerja, sama ada di pihak swasta mahupun kerajaan boleh merancang sebaiknya dengan tarikh pilihanraya diketahui.

Namun penyelesaian yang mudah ini bukan fokus akhbar-akhbar Umno.

Mereka perlukan talian hayat - mereka menilai isu tangguh haji ini sebagai isu yang boleh mengalih perhatian.

Betullah juga, tapi mereka terlupa, terbuta melihat bahawa perhatian kini beralih balik ke perdana menteri.

Jadi, bila perdana menteri nak buat PRU13? Musim haji ke? Calon Umno pergi haji ke tak tahun ini? Boleh bagi jaminan tak buat PRU13 masa musim haji?

Senyum.