Roketkini.com
GEORGE TOWN: Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang kecewa dengan kenyataan Presiden Cuepacs, Datuk Omar Osman, kononnya kerajaan negeri Pakatan Rakyat bersikap dingin dengan tidak mahu berjumpa dengan beliau untuk membincangkan perkara yang berkaitan dengan kakitangan awam.
Menurut Pembantu Khas kepada Ketua Menteri, Nor Diana Mohd Zabidi, pejabat rasmi Lim Guan Eng telah membuat siasatan dan mendapati bahawa Omar tidak pernah menulis surat untuk berjumpa dengan Ketua Menteri Pulau Pinang.
Malah, katanya, tidak ada mana-mana pegawai daripada Pejabat Ketua Menteri yang menerima permohonan Omar untuk berjumpa dengan Ketua Menteri.
“Kenyataan sedemikian yang tidak berasas memang diduga kalau Datuk Omar Osman memakai topi sebagai Presiden KUPEKMAKS (Kelab UMNO Pesara (Kumpulan Pelaksana) Kerajaan Malaysia) tetapi tidak boleh diterima kalau Datuk Omar Osman berucap sebagai Presiden Cuepacs,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, Ketua Menteri Pulau Pinang Eng adalah rakan seperjuangan kepada kesatuan sekerja dan telah pun berjumpa dengan persatuan-persatuan pekerja seperti MTUC dan NUBE.
Malah, tambah beliau, kerajaan negeri pimpinan Guan Eng telah melantik bekas Presiden MTUC, Syed Syahir Syed Mohamud, sebagai Senator baru-baru ini.
“Oleh itu tidak ada masalah untuk Cuepacs atau Datuk Omar Osman untuk berjumpa dengan Ketua Menteri. Dakwaan Datuk Omar bahawa pegawai daripada pejabat Ketua Menteri enggan mengaturkan perjumpaan atas dakwaan Ketua Menteri sibuk adalah tidak berasas.
“Adalah diharapkan Datuk Omar Osman boleh mendedahkan nama pegawai daripada pejabat Ketua Menteri yang kononnya enggan mengaturkan perjumpaan tersebut,” ujarnya. – Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan