Ahad, 10 Jun 2012

Nurul Izzah: Istijuara Peroleh Tender RM30.8 Juta Dibawa Ke Parlimen





SHAH ALAM: Isu kontrak bernilai RM30.8 juta yang melibatkan syarikat Istijuara Sdn Bhd milik anak Menteri Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin akan dibawa ke sidang Parlimen.

Demikian menurut Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar kepada TVS ketika ditemui di Dewan Sivik MBPJ, Petaling Jaya semalam.

“Nilainya RM30.8 juta, tender terus kepada syarikat bernama Istijuara Sdn Bhd, ini tentunya timbulkan banyak persoalan, tetapi kita akan bawa ke parlimen, tentunya,” katanya.

Menurut Nurul Izzah, isu ini akan dibawa ke parlimen kerana ia menyentuh kepentingan dana kerajaan dan rakyat negara ini.

“Tentunya perkara sebegini yang kita mahu elakkan dalam bercakap tentang reformasi politik, reformasi mengembalikan ekonomi demi rakyat, bukan untuk segelintir kroni dan anak-anak mereka,” katanya lagi.

Sebelum ini, beberapa blog dan media portal melaporkan pada 2010, Kementerian Belia dan Sukan menganugerahkan kontrak bernilai RM30.8 juta kepada Istijuara bagi projek memasang dan menyelenggara kelengkapan latihan di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Bandar Penawar, Johor.

Anak perempuan Raja Nong Chik, Raja Farhana Raja Nong Chik, merupakan pemilik kepada Istijuara.

Disertakan beberapa dokumen rasmi sebagai bukti, Istijuara juga dikatakan hanya diberikan surat tawaran projek setelah projek tersebut hampir siap sepenuhnya pada Ogos 2010, sedangkan projek itu telah diberikan pada 2006 lagi.

Tiada ulasan: