Selasa, 12 Jun 2012

Nizar sedia mohon maaf kepada Sultan Johor

KOSMO




KUALA LUMPUR - Bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin hari ini menyatakan kesediaan untuk mengadap Sultan Johor Sultan Ibrahim bagi memohon maaf dan memberi penjelasan berhubung kenyataan menerusi twitternya mengenai bidaan no pendaftaran WWW 1.

Mohammad Nizar berkata, pihaknya akan menghantar surat permohonan rasmi bagi mengadap Sultan Johor dalam masa terdekat bagi membolehkan beliau menerangkan kedudukan sebenar seterusnya menghentikan kontroversi yang melanda isu tersebut.

"Selepas Sultan Johor menyatakan bahawa elok saya memohon kemaafan kepada rakyat Johor, hari ini saya ingin menyatakan seikhlas hati bahawa saya ingin sangat untuk mohon kemaafan kepada Sultan Johor sendiri.

"Tweet saya merupakan pandangan peribadi dan umum daripada seorang rakyat biasa tanpa ditujukan kepada mana-mana pihak... ini yang perlu diperjelas kepada Sultan Johor supaya tiada lagi spekulasi dan salah faham selepas ini,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini, hari ini.

Mohammad Nizar yang juga Timbalan Pesuruhjaya Pas Perak kini disiasat di bawah Akta Hasutan berikutan dakwaannya di twitter berhubung kejayaan Sultan Johor membuat bidaan bagi nombor pendaftaran WWW 1 dengan harga RM520,000.

Sultan Ibrahim memenangi bidaan untuk nombor plat WWW 1 pada harga RM520,000 dan kemudian Mohammad Nizar melalui twitternya menyatakan bahawa jumlah wang yang besar itu boleh diguna untuk membantu orang Melayu yang miskin di negeri itu membeli rumah. - BERNAMA

Tiada ulasan: