Jumaat, 15 Jun 2012

Nizar hantar surat mohon hadap Sultan Johor

NORMAWATI ADNAN

Pemuda Umno dan NGO buat laporan polis terhadap Nizar
Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin
 
 
SHAH ALAM - Timbalan Pesuruhjaya Pas Perak, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin menghantar surat memohon perkenan menghadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, sebentar tadi.

Dalam surat itu, Mohamad Nizar yang juga bekas Menteri Besar Perak memohon menghadap Sultan Johor bagi mengzahir permohonan maaf berhubung kenyataan beliau menyentuh pembidaan nombor pendaftaran WWW 1.
 
Ketika dihubungi, Penolong Setiausaha Pas Perak, Safarizal Saleh mengesahkan surat itu dihantar.
 
"Baru tadi dihantar, hari ini," kata beliau ketika dihubungi sebentar tadi.

Surat itu dialamtkan kepada Setiausah Sulit kepada Sultan Johor, Jaba Mohd Noah.

Nizar antara lain berkata, beliau memohon menghadap Sultan Johor bagi menjelaskan kesulitan yang berlaku.

Selasa lalu, Mohamad Nizar berkata, beliau bersedia untuk menghadap Sultan Johor Sultan Ibrahim bagi memohon maaf dan memberi penjelasan berhubung kenyataan menerusi Twitternya mengenai bidaan no pendaftaran WWW 1.

Mohammad Nizar berkata, pihaknya akan menghantar surat permohonan rasmi bagi mengadap Sultan Johor dalam masa terdekat  bagi membolehkan beliau menerangkan kedudukan sebenar seterusnya menghentikan kontroversi yang melanda isu tersebut.

"Selepas Sultan Johor menyatakan bahawa elok saya memohon kemaafan kepada rakyat Johor, hari ini saya ingin menyatakan seikhlas hati bahawa saya ingin sangat untuk mohon kemaafan kepada Sultan Johor sendiri.

"Tweet saya merupakan pandangan peribadi dan umum daripada seorang rakyat biasa tanpa ditujukan kepada mana-mana pihak...ini yang perlu diperjelas kepada Sultan Johor supaya tiada lagi spekulasi dan salah faham selepas ini," katanya.

Beliau kini disiasat di bawah Akta Hasutan berikutan dakwaannya di twitter berhubung kejayaan Sultan Johor membuat bidaan bagi nombor pendaftaran WWW 1 dengan harga RM520,000.

Sultan Ibrahim memenangi bidaan untuk nombor plat WWW 1 pada harga RM520,000 dan kemudian Mohammad Nizar melalui twitternya menyatakan bahawa jumlah wang yang besar itu boleh diguna untuk membantu orang Melayu yang miskin di negeri.

Dalam pada itu, Mohamad Nizar ketika ditemui wartawan di Ipoh pagi tadi berkata, beliau akan mengemukakan saman fitnah kepada dua organisasi media  kerana mendakwa memutarbelitkan mesej twitternya berhubung keputusan bidaan nombor pendaftaran WWW 1.

Beliau berkata, saman yang akan dikemukakan dalam masa terdekat itu dibuat berikutan tindakan penyiaran laporan yang dibuat kedua-dua media berkenaan, dikatakan menjadi punca timbulnya pelbagai persepsi rakyat terhadap mesej yang dikeluarkannya, 28 Mei lalu.

“Saya sudah berbincang dan keputusan sudah dibuat untuk mengemukakan saman fitnah ini dalam masa terdekat.

“Ada satu lagi stesen televisyen akan terlibat sama dalam isu saman fitnah ini, tetapi yang itu pihak saya masih lagi meneliti laporan yang dikeluarkan mereka,” katanya.

Mengulas lanjut, Timbalan Pesuruhjaya Pas Perak itu menegaskan, isu saman tetap akan dijalankan meskipun permohonan untuk mengadap Sultan Johor tidak diperkenankan.

"Ini adalah dua perkara yang berlainan, sehingga pagi ini saya masih belum menghantar sebarang permohonan rasmi, jika tiada apa-apa halangan, kemungkinan petang ini atau esok pagi surat berkenaan akan dihantar," katanya.

Tiada ulasan: