Selasa, 5 Jun 2012

MCA dan MIC kuda tunggangan UMNO sejak Merdeka

Roketkini.com




BATU GAJAH: UMNO sering mempropagandakan kononnya PAS dan PKR adalah kuda tunggangan DAP manakala MCA dan MIC pula cuba mengelirukan pengundi kononnya DAP diperalatkan oleh PAS dan PKR.

Hakikatnya ialah  MCA dan MIC merupakan kuda tunggangan UMNO sejak merdeka hingga ke hari ini, malah kepimpinan UMNO yang menguasai Barisan Nasional telah menerapkan budaya ‘pak angguk’ di mana MCA dan MIC hanya mengikut telunjuk UMNO.

Menurut Timbalan Pengerusi DAP Perak V. Sivakumar, tohmahan BN terhadap PKR,  DAP dan PAS selama ini adalah tidak berasas kerana ketiga-tiga parti Pakatan Rakyat itu berada pada landasan yang sama dalam memperjuangkan kebajikan dan keadilan kepada rakyat serta menyelamatkan Malaysia daripada kronisme, nepotisme dan korupsi.

“UMNO masuk kampung orang Melayu untuk berkata PAS adalah kuda tunggangan DAP manakala MCA masuk kampung baru Cina untuk berkata DAP kuda tunggangan PAS.

“Sekarang masalahnya siapa tunggang siapa? Dalam Pakatan Rakyat tidak ada siapa yang tunggang siapa.  Setiap parti dalam Pakatan Rakyat mempunyai prinsip perjuangannya yang tersendiri.

“Tidak ada ruang untuk mana-mana parti untuk tunggang parti lain seperti mana yang didakwa oleh BN,” katanya.

Beliau yang juga ADUN Tronoh berkata, BN tidak ada modal yang mantap untuk kempen pilihan raya umum akan datang kerana telah tercicir daripada landasan perjuangan untuk membela rakyat jelata berikutan amalan rasuah, salah guna kuasa, fitnah dan samseng yang makin menjadi-jadi.

“Setiap hari sokongan rakyat semakin terhakis kepada Barisan Nasional kerana tindak-tanduk mereka menggalakkan budaya samseng dan fitnah yang berterusan juga melemahkan lagi kedudukannya.

“Sentimen perkauman sengaja diungkitkan untuk meraih undi daripada kumpulan sasaran mereka,“ tambah beliau.

Menurutnya, beliau yakin rakyat Malaysia lebih pintar dan tidak mudah terpedaya dengan fitnah dan tipu muslihat BN kerana sudah semakin sedar bahawa tradisi ‘naik kuda’ itu merupakan amalan parti-parti politik dalam komponen BN.

“Semata-mata kerana UMNO-BN mengamalkan perbuatan itu, janganlah pula membawa budaya itu untuk dibandingkan dengan parti-parti politik Pakatan Rakyat yang berdiri sama tinggi, duduk sama rendah,” ujarnya. – Roketkini.com

Tiada ulasan: