Isnin, 25 Jun 2012

Masjid diminta dekati saudara baru

Mohd Sabri Said,

KEPALA BATAS:  Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEIPP), Haji Sazali Haji Hussein (gambar) menyarankan semua Jawatankuasa Qariah Masjid seluruh negeri memantau serta mendekati 'saudara baru' supaya kehidupan mereka lebih terbimbing.

Jelasnya, lazim golongan yang baru memeluk Islam memerlukan perhatian secukupnya selain mendapat  bimbingan daripada JHEIPP menerusi lokasi seperti Masjid Negeri, Masjid Daerah serta JHEIPP sendiri.

"Jawatankuasa masjid kena pantau mana-mana saudara baru yang ada di qariah masing-masing.  Jangan biarkan kehidupan mereka terubang ambing setelah mereka terpisah daripada keluarga tersayang kerana cintakan agama yang suci, " terangnya dalam program 'Jalinan Mahabbah Saudara Baru 2012 di Hotel Seri Malaysia, Kepala Batas pagi tadi.

Menurut beliau, jika mahu mengembangkan syariat Islam, Jawatankuasa masjid kena tunjukan sikap prihatin terhadap golongan berkenaan dengan membimbing mereka mudah-mudahan minat mereka terhadap Islam terus mengembang.

Jika mereka dapat raikan dengan kasih sayang maka tidak mustahil individu yang bernama saudara baru boleh berubah menjadi lebih baik dan akhirnya dapat membentuk jiwa orang lain pula.

"Jika terdapat saudara baru di kampung-kampung Jawatankuasa Masjid kena dekatkan diri dengan mereka.  Apa  salahnya pihak qariah buat majlis raikan mereka untuk menjauhkan diri mereka daripada pada melutut meminta sedekah, " terang beliau.

Sementara itu, Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang (Maipp), Datuk Saleh Man menyifatkan,  untuk menarik perhatian saudara baru, orang Islam sendiri kena tunjukan emej yang baik.

(Antara saudara baru yang menyertai program)

Jangan tunjukan emej buruk sambungnya, seperti berseluar pendek, tidak sembahyang, melakukan kegiatan yang diharamkan dan sebagainya.

Sebaliknya seru Saleh, Umat Islam kena mengajak mereka (saudara baru) ke program kebajikan, agama dan  sebagainya supaya mereka dapat merasakan kenikmatan berada dalam Islam yang agung.

"Umat Islam yang baik ialah mereka bertindak sebagai pendakwah.  Sikap mereka boleh dijadikan contoh bukanya meniadakan tanggungjawab bersama untuk mendidik saudara baru ke arah yang lebih baik, " katanya.

Ceramah motivasi diadakan untuk pengisian iaitu Pengerusi Yayasan Kasih Sayang, Negeri Sembilan, Muhamad Adnan Bin Abdullah dan tokoh saudara baru Peringkat Negeri Pulau Pinang, Ustazah Nazirah Nantha Kumari Binti Abdullah.

Tiada ulasan: