Selasa, 5 Jun 2012

Majlis peguam perlu respons sebelum 14 Jun berhubung EGM

SINAR HARIAN

Bersih 3.0: Majlis Peguam kutuk tindakan polis
M Lim Chee Wee bersama , Christopher Leong (dua, kiri) menunjukkan resolusi
Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) Majlis Peguam di Kuala Lumpur semalam.
 
 
KUALA LUMPUR - Majlis Peguam Malaysia diberi tempoh sehingga 14 Jun ini untuk memberi respons terhadap saman dikemukakan oleh seorang peguam yang mencabar satu notis bagi mengadakan mesyuarat agung luar biasanya (EGM) pada 11 Mei.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk John Louis O'Hara juga menetapkan 13 Jun ini sebagai tarikh selanjutnya bagi pengurusan kes tersebut selepas bertemu dengan kedua-dua pihak dalam kamarnya hari ini.

Pada 16 Mei lalu, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz, memfailkan saman dengan menamakan badan peguam tersebut, Majlis Peguam, presidennya Lim Chee Wee dan setiausahanya, Tony Woon Yeow Thong sebagai defendan menuntut satu perisytiharan supaya diputuskan bahawa notis bertarikh 4 Mei untuk memanggil EGM itu sebagai tidak sah dan tidak selaras dengan Akta Profesion Guaman 1976.

Peguam Tan Sri Dr Abdul Aziz Abdul Rahman dan Shaharudin Ali mewakili plaintif dan Idza Hajar Ahmad Idzam bertindak bagi pihak defendan.

Ketika ditanya mengenai perkara tersebut, Shaharudin memberitahu pemberita bahawa Majlis Peguam dikehendaki memfailkan pernyataannya sebelum 14 Jun dan plaintif pula perlu memberi jawapan sebelum 21 Jun.

Shaharudin berkata peguam di pihak defendan memberitahu mahkamah bahawa ketiga-tiga defendan iaitu Majlis Peguam, Lim dan Woon bercadang membatalkan saman tersebut.

Beliau berkata ketiga-tiga pihak itu juga akan menghadkan isu kepada satu persoalan sahaja sama ada notis memanggil EGM itu sebagai tidak sah atau tidak mengikut peruntukan dalam akta berkenaan.

Dalam pernyataan tuntutan, Mohd Khairul Azam, yang menganggotai Peguam Malaysia dan juga Majlis Peguam, mendakwa bahawa notis memanggil EGM itu dikeluarkan kurang daripada tujuh hari sebelum 11 Mei, selain menyatakan bahawa anggota majlis tersebut tidak dimaklumkan dengan sewajarnya.

Mohd Khairul Azam mendakwa bahawa Woon telah mengeluarkan notis EGM pada 4 Mei, tanpa menyebut sama ada Majlis Peguam sudah memutuskan dalam mesyuarat mereka sebelum itu untuk mengadakan EGM.

Beliau berkata usul yang dibincangkan dalam EGM itu melanggar Akta Hasutan 1948 kerana membincangkan perkara yang di luar bidang kuasa undang-undang yang mengawal selia pihak defendan.

Mohd Khairul Azam mendakwa bahawa anggota-anggota Majlis Peguam sudah diprejudis melalui usul berkenaan dan 14,189 anggota majlis diletakkan dalam keadaan skandal menerusi perbincangan secara terbuka serta bidang profesion mereka dicemuh.

EGM tersebut meluluskan usul dengan 939 undi menyokong 16 menentang meminta Ketua Polis Negara dan Kementerian Dalam Negeri memohon maaf di atas penggunaan kekerasan yang berlebihan terhadap penunjuk perasaan dan wartawan semasa perhimpunan Bersih 3.0 pada 28 April lepas. - Bernama

Tiada ulasan: