THE MALAYSIAN INSIDER
KUALA LUMPUR— Anggota Parti Barisan Kemajuan India SeMalaysia (IPF) perlu terus menyokong kerajaan Barisan Nasional (BN), kerana hanya BN berada di landasan yang betul dalam melaksanakan perubahan demi membawa Malaysia sebagai negara maju pada 2020.
Setiausaha Agung BN Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor (gambar) berkata kerajaan BN di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menjanjikan perubahan dan sentiasa menepati janji tersebut.
“Mandat yang kuat perlu terus diberikan kepada Perdana Menteri kerana beliau bakal membawa banyak perubahan kepada rakyat dan negara,” katanya pada majlis pelancaran Jentera Pilihan Raya IPF Peringkat Pusat, di sini hari ini.
Turut hadir Presiden IPF Datuk M. Sambanthan dan Setiausaha Kerja BN Datuk Abu Khamis.
IPF merupakan anggota bersekutu BN.
Mengulas lanjut, Tengku Adnan yang juga Setiausaha Agung Umno berkata untuk memberi mandat yang kuat kepada BN, anggota IPF sendiri perlu bersatu padu.
“Hentikanlah persengketaan yang wujud dalam parti. IPF ditubuhkan oleh mendiang Tan Sri M.G. Pandithan sebagai satu wadah memperjuangkan kepentingan kaum India.
“Kepada mereka yang masih bersengketa, kembali bersatu, selesaikan masalah atas nama kepentingan kaum India... jika parti (IPF) kuat apa saja mampu dilakukan demi membantu kepentingan kaum India,” katanya sambil menasihatkan agar anggota IPF terus memberi sokongan kepada presiden parti sekarang.
Sementara itu, Sambanthan berkata program hari ini adalah kali keempat dianjurkan oleh IPF sepanjang tahun ini.
“IPF mempunyai 112,000 anggota di lapan buah negeri seluruh negara. Jentera pilihan raya IPF akan digerakkan di semua 80 bahagian cawangan parti, dan secara dasarnya IPF sudah bersedia membantu BN untuk menghadapi pilihan raya umum ke-13 nanti,” katanya. — Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan