MALAYSIA KINI
Stesen radio Manis FM milik kerajaan negeri Terengganu, bakal menjadi medium penduduk negeri dan pantai timur, mendapatkan maklumat terkini dan perkembangan semasa apa yang berlaku di Terengganu.
Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said berkata Manis FM akan menyajikan program berbentuk informasi dan hebahan maklumat terkini, program berbentuk keagamaan dan hiburan.
"Sebahagian besar rancangannya akan ditaja oleh pihak swasta.
"Kami akan tetapkan satu tarikh untuk majlis pelancaran Manis FM secara rasmi dalam masa terdekat ini," katanya selepas melawat stesen radio kerajaan negeri itu yang bertempat di Bangunan Epic di sini hari ini.
Turut hadir pada majlis itu Pengurus Besar Manis FM Mahari Abdul Rahman.
Manis FM yang dibeli dengan harga kira-kira RM9 juta setahun lalu daripada Husa Network Sdn Bhd, sebelum ini beroperasi di Lorong Manis, Jalan Sultan Yahya Petra, Kelantan.
Kerajaan Terengganu memperoleh lesen untuk siaran stesen radio itu meliputi Terengganu, Kelantan dan Pahang dan boleh juga ke udara hingga ke peringkat nasional.
Ahmad berkata Manis FM telah mengatur program di mana pegawai-pegawai kanan kerajaan negeri termasuk barisan Exco, akan dijemput memberi maklumat rancangan dan dasar kerajaan dari semasa ke semasa di stesen radio itu.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan