Sabtu, 9 Jun 2012

Kerajaan BN mula panik, kata MB Selangor

Wartawan Sinar Harian

Kerajaan BN mula panik, kata MB Selangor
Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN)
 
 
SHAH ALAM - Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim mendakwa kesediaan Kerajaan Negeri Selangor mencari dana bagi membantu penuntut Universiti Selangor (Unisel) telah mengakibatkan Barisan Nasional(BN) kelam-kabut dan menarik balik pembekuan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Khalid berkata, ekoran masalah yang dihadapi pelajar Unisel, dianggarkan 1,076 orang, menyebabkan kerajaan negeri mencari sumber kewangan lain bagi membantu mereka.

“Hasil daripada pelbagai usaha kita sudah ada duit sebanyak RM30 juta bagi membantu pelajar selepas dinafikan hak mendapat pinjaman di bawah PTPTN.

“Kerajaan BN ugut dengan menarik balik pinjaman yang diberi kepada pelajar. Mereka ingat kita tidak pandai kira untuk mencari duit.

“Akhirnya selepas kita sudah ada RM30 juta, tiba-tiba malam tadi (kelmarin) PTPTN mengumumkan membuka semula pinjaman kepada pelajar Unisel,” kata beliau pada ceramah perdana di padang Majlis Daerah Ketereh Perbandaran Islam, Ketereh, malam tadi.

Langkah menggunakan aset Kerajaan Negeri itu diumumkan lewat kelmarin.

Khamis lalu, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khalid Nordin dilaporkan berkata, tindakan pembekuan pinjaman PTPTN itu dibuat untuk memberi peluang kepada kerajaan negeri Selangor yang mahu pendidikan di negara ini, termasuk di peringkat tinggi diberi secara percuma, membuktikan perkara itu.

Semalam, Pengerusi PTPTN, Datuk Ismail Mohamed Said berkata, agensi itu menarik balik pembekuan kemudahan pinjaman kepada penuntut Unisel berkuat kuasa serta-merta.

"Menteri Pengajian Tinggi telah pun menghantar surat kepada Unisel mengenai penarikan balik pembekuan pinjaman PTPTN dan para pelajar boleh memohon PTPTN seperti biasa," katanya dipetik Harakah Daily.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas mendapat respons daripada pelbagai pihak terutama daripada ibu bapa pelajar yang mahu sekatan itu ditarik balik.

"Mereka berkata sekiranya PTPTN meneruskan pembekuan tersebut anak-anak mereka terpaksa berhenti belajar sebab tidak mampu menaggung kos pembelajaran di situ," katanya.

Ismail berkata, langkah menarik balik sekatan itu juga dibuat ekoran Kerajaan Negeri Selangor yang merupakan pemilik Unisel dilihat tidak mampu menyediakan pendidikan percuma di negeri itu.

Turut hadir pada ceramah malam tadi ialah Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Setiausaha Agung, Datuk Saifuddin Nasution Ismail; Pengarah Strategi parti itu, Rafizi Ramli;

Ketua PKR Kelantan, Abdul Aziz Kadir dan Yang Dipertua Pas Ketereh, Wan Ismail Wan Jusoh.

Isu PTPTN menjadi hangat apabila Pakatan Rakyat (PR) dalam Buku Jingga menawarkan memberi pendidikan percuma kepada rakyat, dengan mengembalikan semula biasiswa yang ditukar menjadi pinjaman di bawah kerajaan BN sekarang.

Anwar pula memberitahu sekiranya PR menguasai Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), langkah pertama akan diambil mengisytihar memberi pendidikan percuma kepada rakyat.

Katanya, kerajaan hanya memerlukan sekitar RM5 bilion bagi memberi pendidikan percuma dan  bantuan kepada pelajar setiap tahun.

“Setiap tahun kerajaan mendapat hasil daripada royalti petroleum sebanyak RM80 bilion, dan hanya RM5 bilion digunakan bagi tujuan pendidikan percuma.

“Kita masih lagi ada RM75  bilion, bagaimanapun pula ada pihak menganggap negara boleh bankrap dengan menyediakan pendidikan percuma. Saya pun tidak faham kaedah matematik yang mereka gunakan,” ujarnya.

Tiada ulasan: