Jumaat, 8 Jun 2012

Keputusan kes Mahfuz, Salahudin 3 September

Harakahdaily,   
 

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sivil Baharu (NCvC) Kuala Lumpur semalam menetapkan tarikh 3 September ini bagi keputusan kes dua Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar dan Salahudin Ayub menyaman kerajaan.

Keputusan itu dibuat hakim Prasad Sandosham Abraham selepas mendengar keterangan lima saksi bagi pihak defenden semalam.

Mereka adalah Inspektor Mohd Zaidi Mad Zizat, Supritenden Aida Abdul Hamid, ASP R.Muthusamy, ASP Zulkifli Osman dan Jurugambar Polis Ganeson.

Sementara itu, ketika memberi keterangan semalam, Zaidi mengaku telah menangkap dua pemimpin PAS pada hari perhimpunan Bersih 2.0 tahun lalu di luar kawasan larangan yang ditetapkan Mahkamah Majistret.

Beliau juga mengaku kedua-duanya bukan ditangkap ketika menyertai perhimpunan itu.

Pengakuan itu direkodkan ketika menjawab pertanyaan peguam plaintif, Abdul Aziz Hamzah.

Pada 8 Ogos tahun lalu kedua-dua mereka memfailkan saman malu terhadap empat pihak iaitu Kerajaan Malaysia, Ketua Polis Negara, Ketua Polis Daerah Brickfields dan Zaidi.

Ianya ekoran dakwaan penangkapan salah terhadap mereka di KL Sentral pada 9 Julai lalu sempena himpunan Bersih 2.0 di ibu negara.

Saman tersebut difailkan menerusi syarikat guaman Tetuan Faiz Fadzil & Co bersama peguam Zulhazmi Sharif.

Kedua-dua Naib Presiden PAS itu menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk dan gantirugi teladan, kos serta lain-lain relif atau perintah yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Tiada ulasan: