Ahad, 10 Jun 2012

Jangan politikkan isu PTPTN, Aspirasi gesa PR Selangor

Nurul Aini Mohamed Ali

SHAH ALAM - Sambil menggesa institusi pengajian tinggi tidak diganggu oleh anasir politik, Persatuan Alumni Pemimpin Aspirasi Malaysia (Aspirasi) berharap Kerajaan Negeri Selangor pimpinan Pakatan Rakyat (PR) tidak mempolitikkan isu sekatan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Presidennya, Mohd Shahar Abdullah berkata, tindakan PTPTN menarik balik keputusan membekukan pinjaman kepada penuntut Unisel dan Kuis memberi kelegaan kepada mereka.

"Ini kerana mahasiswa merasa bimbang tidak mendapat sebarang pembiayaan jika PTPTN meneruskan hasrat membekukan pinjaman,” kata beliau kepada Sinar Harian Online.

Shahar berkata, kebajikan mahasiswa perlu mendapat keutamaan kerana mahasiswa merupakan aset negara yang cukup bernilai kepada negara.

Sehubungan itu, beliau juga mengingatkan Kerajaan Negeri Selangor agar tidak mempolitikkan isu PTPTN, sekali gus mengheret mahasiswa ke dalam kancah permainan politik mereka.

“Jika benar mereka (Kerajaan Negeri Selangor) mampu menyediakan pendidikan tinggi secara percuma, mengapa mereka tidak realisasikan sejak mereka menang pilihan raya 2008?

"Jelas di sini mereka terdesak memperalatkan mahasiswa bagi meraih undi untuk Pilihan raya Umum ke-13 (PRU13),” jelas beliau.

Beliau juga menegaskan agar isu ini harus dihentikan secepat mungkin kerana universiti merupakan gedung ilmu yang seharusnya tidak diganggu pihak luar demi kepentingan politik semata-mata.

“Biarlah mahasiswa dapat belajar dan menimba ilmu dalam keadaan tenang. Jangan meracuni fikiran mereka dengan isu-isu sebegini,” tambah beliau.

Katanya, Aspirasi syukur dan lega kerana keputusan PTPTN menarik balik pembekuan pinjaman kepada penuntut Universiti Selangor (Unisel) dan Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis) kelmarin.

Pengerusi PTPTN, Datuk Ismail Mohamed Said berkata, agensi itu menarik balik pembekuan kemudahan pinjaman kepada penuntut Unisel berkuat kuasa serta-merta.

"Menteri Pengajian Tinggi telah pun menghantar surat kepada Unisel mengenai penarikan balik pembekuan pinjaman PTPTN dan para pelajar boleh memohon PTPTN seperti biasa," katanya.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas mendapat respons daripada pelbagai pihak terutama daripada ibu bapa pelajar yang mahu sekatan itu ditarik balik.

Tiada ulasan: