Rabu, 6 Jun 2012

Isu WWW1: Nizar jawab 28 soalan polis

Rosdalilah Zahari

Datuk Seri Ir Muhammad Nizar Jamaluddin
Timbalan Pesuruhjaya Pas, Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin
 
 
IPOH - Timbalan Pesuruhjaya Pas, Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin menjawab 28 soalan dikemukakan oleh polis berhubung kenyataan yang dibuat berkenaan pembidaan nombor plat pendaftaran WWW1.

Soal siasat bermula jam 2.30 dan berakhir jam 3.10 petang tadi.

Ketika ditemui pemberita, Nizar berkata, dalam isu kes bidaan, beliau menghormati tugas polis dan telah memberi kerjasama sepenuhnya seperti yang diminta.

"Dia (polis) dah siasat, keterangan pun sudah diambil jadi saya serahkankepada polis untuk siasat," katanya.

Dalam pada itu, Bernama melaporkan dua pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara  mengambil keterangan Nizar.

Ketua Siasatan Jenayah IPD berkenaan, DSP Sanawi Muhamad yang mengetuai siasatan itu bersama DSP Sukiman Arshad tiba di Pejabat Pas negeri di sini, pada pukul 2 petang dan mengambil masa sejam untuk merakam keterangan Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Pasir Panjang tersebut.

Pada Isnin lepas, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dilapor berkata polis Johor telah menerima 39 laporan polis mengenai kenyataan Mohammad Nizar.

Mohammad Nizar sebelum ini dilapor mengeluarkan kenyataan menerusi laman Twitter mempersoalkan bidaan nombor pendaftaran kenderaan WWW 1 yang dimenangi Sultan Johor dengan kos RM520,000.

Kes itu dilapor disiasat mengikut Akta Hasutan.

Tiada ulasan: