Selasa, 5 Jun 2012

Isu Sampah: Selangor Selamatkan RM100 Juta Duit Rakyat





SHAH ALAM: Sejak distruktur semula Ogos tahun lalu, sejumlah RM100 juta berjaya diselamatkan oleh Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor dalam pengurusan sisa pepejal di negeri ini.

Perkara ini dinyatakan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ketika merasmikan Majlis Penyerahan Lori Kompaktor Kepada Majlis Bandaraya Shah Alam dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya di sini, semalam.

“Daripada kajian UPEN (Unit Perancang Ekonomi Negeri), kita dapat mengurangkan kos pentadbiran dan pengurusan sampah.

“Jadi, saya akan bentangkan satu kertas yang mana penjimatan yang kita buat hampir RM100 juta dari perbelanjaan sebelumnya di antara RM350 juta hingga RM400 juta.

“Kesan penstrukturan semula dapat kita lihat hasilnya, kos semakin berkurangan dari sebulan ke sebulan,” ujar beliau.

Menurut Abdul Khalid, daripada hasil penjimatan ini, Kerajaan Negeri akan mengembalikan kepada rakyat dalam bentuk pemotongan cukai pintu rumah pangsa kos rendah sebanyak 25 peratus sebagai langkah menjaga kebajikan rakyat negeri itu.

Abdul Khalid turut mencabar Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan berbincang mengenai isu penstrukturan sampah yang dilaksanakan Kerajaan Negeri kini.

Jelasnya, Kementerian Perumahan tidak faham tentang pengurusan sampah dengan teliti. Tetapi membiarkan penyelewengan, kebocoran dan akhirnya rakyat terpaksa membayar caj lebih mahal dari sepatutnya.

“Jadi saya cabar Kementerian Perumahan untuk duduk sama-sama dengan kita dan wakil UPEN (Unit Perancang Ekonomi Negeri) Selangor, Saudara Azhar, lihat hasil keputusan pengambilalihan pengurusan pelupusan sampah daripada Alam Flora Sdn Bhd.

“Saya boleh tolong buatkan kira-kira. Kosnya cuma satu cawan teh sahaja untuk saya terangkan bagaimana usaha memantau kualiti, memantau kos dan usaha memantau kecekapan yang dapat diterjemahkan kepada manfaat untuk rakyat Selangor,” kata Abdul Khalid lagi.

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan diterajui oleh Menterinya, Datuk Seri Chor Chee Heung.
Abdul Khalid turut memberikan contoh perbandingan dengan membandingkan harga lori pemampat sampah yang dibeli oleh Kumpulan Darul Ehsan Bhd (KDEB) dengan pembeli lain.

“Contohnya Alam Flora, ketika mereka umumkan pembelian, saya lihat mereka membeli dengan harga RM100,000 lebih mahal daripada kompaktor yang kita beli.

“Ketika saya masih di peringkat kajian untuk penilaian harga kompaktor, saya lihat Negeri Sembilan juga membeli dengan harga yang mahal walaupun Menteri Besar Negeri Sembilan pernah menjaga syarikat pengangkutan.

“Ini kerana kita beli, tiada komisyen, tiada orang tengah, orang tepi, orang belakang sebagai agen,” beritahunya.

Tiada ulasan: