Jumaat, 22 Jun 2012

Isu Faekah bukan senjata sasar MB Selangor

G MANIMARAN

Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Faekah Husin
Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Faekah Husin
 
 
SHAH ALAM - Kontroversi melibatkan Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Faekah Husin tidak pernah dijadikan sebagai 'senjata' untuk menggulingkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim daripada jawatannya, kata Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli.

Sebaliknya menurut beliau, kontroversi terbaru itu hanya "satu isu pentadbiran" dan bukannya soal nasional sehingga dilihat akan menjejaskan peluang Pakatan Rakyat khususnya PKR dalam Pilihan Raya Umum ke-13.

"Saya tidak lihat begitu, tidak... tidak. Langsung tiada kaitan dengan Menteri Besar, bukan usaha mahu menjatuhkan Menteri Besar.

"Ini hanya satu isu, satu soal pentadbiran sahaja. Tiada persoalan sama sekali mengenai kedudukan Tan Sri Khalid sebagai Menteri Besar," kata beliau kepada Sinar Harian Online.

Rafizi, yang semalam mengumumkan keputusannya meletakkan jawatan sebagai Ketua Eksekutif Pejabat Penasihat Ekonomi Selangor, juga menyifatkan perkembangan terbaru ini sebagai hanya "ribut di cawan."

Kontroversi hangat gerakan menjatuhkan Faekah dilaporkan bermula menerusi laman sosial Twitter.
Ada pihak mahu Faekah digugurkan daripada jawatan Setiausaha Politik. Malah Faekah juga mendapat sokongan ke atas kenyataan dan tindakan-tindakan yang diambil beliau.

Mengulas lanjut, Rafizi tidak menolak kewujudan rasa tidak puas hati di kalangan segelintir pemimpin parti dengan kepimpinan pentadbiran Kerajaan Negeri.

"Perkara ini wujud apabila ada pemimpin dan ahli merasakan bahawa pandangan parti (PKR) tidak diterima oleh kepimpinan Kerajaan Negeri.

"Ada yang berpandangan bahawa Kerajaan Negeri harus menghormati parti dengan menerima pandangan-pandangan yang diberikan, ada yang mendakwa kepimpinan Kerajaan Negeri bertindak defensif," katanya.

Jelas Rafizi, ada pemimpin berpandangan bahawa Kerajaan Negeri tidak boleh menggunakan soal pemisahan kuasa sebagai satu alasan untuk tidak mahu mendengar pandangan parti.

"Memang kami di Pakatan Rakyat mengambil pendekatan ini iaitu pemisahan, berbeza daripada era BN dan Umno, tetapi kami merasakan bahawa perlu ada mekanisme untuk menyalurkan pandangan parti kepada Kerajaan Negeri," katanya dengan merujuk kepada isu kutipan sampah di Selangor baru-baru ini.

"Parti beranggapan bahawa pandangan peringkat bawahan perlu diambil kira, sedang ada pihak di pentadbiran Kerajaan Negeri berpandangan sebaliknya," katanya.

Sehubungan itu kata beliau, kepimpinan Kerajaan Negeri, yang dirujuk kepada Khalid selaku Menteri Besar, perlu menyedari perkara ini dan mengambil tindakan untuk mengatasinya.

"Saya menghormati hak Tan Sri Khalid melantik pegawai-pegawai yang difikirkan sesuai dengan keperluan tanggungjawab beliau.

"Tetapi Menteri Besar juga perlu memahami aspirasi ahli-ahli dan pemimpin parti dalam soal ini," katanya lagi.

Tiada ulasan: