Sabtu, 23 Jun 2012

Ibu Tunggal Terharu Terima Bantuan






PETALING JAYA  : Seorang ibu tunggal melahirkan kesyukuran apabila kesusahan hidupnya mendapat perhatian DUN Taman Medan dengan menerima bantuan kewangan sejumlah RM500.

Suri rumah, Julieza Yahya, 41, berkata, beliau hanya bergantung pada upah menjahit yang diusahakan di rumah bagi menyara empat orang anaknya selepas kematian suami akibat sakit beberapa tahun lalu.

Malah katanya, bantuan RM300 sebulan daripada Jabatan Khidmat Masyarakat (JKM) untuk menyara keluarga juga tidak mencukupi memandangkan kos sara hidup kini semakin tinggi.

“Saya perlu bekerja keras bagi menanggung keluarga dan juga perbelanjaan rumah. Setelah kematian suami, segala beban dan tanggungjawab perlu digalas apatah lagi anak-anak masih bersekolah,” katanya.

Menurutnya, beliau sama sekali tidak menyangka permohonannya untuk mendapatkan bantuan diluluskan DUN dalam masa singkat.

Tambahnya, selain bantuan kewangan, DUN Taman Medan turut memberi bantuan cermin mata kepada salah seorang anaknya.

“Saya berasa terkejut dan sangat terharu apabila DUN memberi saya bantuan ini. Walaupun nilainya kecil, tetapi ia sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban. Saya amat berbesar hati,” ujarnya.

Sementara itu, Adun Taman Medan, Haniza Talha berkata, pemberian bantuan yang diserahkan kepada keluarga kurang bernasib baik itu adalah berdasarkan kepada permohonan yang diterima.

Selain bantuan kewangan katanya, DUN turut membantu insan kurang bernasib baik mendapatkan bantuan kebajikan lain sekiranya ia diperlukan dan ada keperluan mendesak.

“DUN memang ada menyediakan peruntukan kepada golongan kurang bernasib baik terutama ibu tunggal. Ini menunjukkan kerajaan Pakatan Rakyat benar-benar prihatin pada rakyat yang kurang bernasib baik,” jelasnya.

Tiada ulasan: