Jumaat, 22 Jun 2012

Himpunan Hijau ‘Occupy Balok-Gebeng 24 Hours’ bermula Sabtu

Oleh Mohd Martin Kahar


KUALA LUMPUR : Jawatankuasa Himpunan Hijau akan menganjurkan satu lagi himpunan besar-besaran pada Sabtu hingga Ahad ini, di Pantai Balok, Kuantan.



Pengerusinya, Wong Tack berkata, himpunan dinamakan ‘Occupy Balok-Gebeng 24 Hours’ bertujuan meneruskan desakan terhadap kerajaan supaya menghentikan projek Lynas Advanced Materials Plant (LAMP), di Gebeng.

Menurut beliau, pelbagai program akan diadakan sepanjang tempoh 24 jam himpunan tersebut.

“Antaranya konsert ‘hijau’, gig band tengah malam, perkhemahan, pameran dan kempen kesedaran alam sekitar, dialog dan ceramah,” katanya di lobi Parlimen hari ini.

Hadir sama, Ahli Parlimen Batu, Tian Chua dan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar.
Wong memberi jaminan himpunan itu akan berjalan secara aman sama seperti Himpunan Hijau 2.0 yang pada 26 Februari lalu.

Menurut beliau, Jawatankuasa Pemandu Himpunan Hijau akan berunding dengan polis esok bagi mendapatkan kebenaran berhimpun hujung minggu ini.

Beliau turut mengalu-alukan kehadiran seluruh rakyat Malaysia ke perhimpunan tersebut bagi membantah projek nadir bumi di negara ini.

Pada 19 Jun lalu, Jawatankuasa Khas Terpilih Parlimen (PSC) yang diketuai oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Khaled Nordin membentangkan laporan mengenai projek tersebut.

Jawatankuasa tersebut mendakwa, Lynas bukan loji nuklear tetapi kilang kimia dan mengesyorkan lesen pengendalian sementara (TOL) dikeluarkan bagi membolehkan kilang itu beroperasi.

Tiada ulasan: