Selasa, 19 Jun 2012

Haji: Asri minta Majlis Fatwa nasihat Putrajaya


Post Pic


KUALA LUMPUR: Bekas Mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata Majlis Fatwa Kebangsaan perlu memberikan nasihat kepada Putrajaya berkenaan isu mengadakan pilihan raya dalam musim haji.

Justeru Dr Mohd Asri menyokong cadangan Dewan Pemuda PAS Pusat yang mahu Majlis Fatwa Kebangsaan mengeluarkan satu fatwa atau sekurang-kurangnya pendirian umum berkenaan isu yang hangat diperkatakan sekarang.

Jelas beliau, Majlis Fatwa Kebangsaan perlu memberikan nasihat seperti mana jawatankuasa itu mengeluarkan pandangan tentang Himpunan BERSIH 3.0 pada 28 April lalu di ibu negara.

"Pilihan raya umum pada masa haji boleh menimbulkan gangguan kepada nilai-nilai kenegaraan yang baik," katanya kepada AntaraPos.com.

Timbalan Ketua Pemuda Pas Pusat Nik Abduh Nik Abdul Aziz berkata jika Majlis Fatwa Kebangsaan mampu bersuara dan mengeluarkan fatwa untuk aktiviti yang berkaitan dengan pihak pembangkang, maka amatlah wajar badan itu mengeluarkan fatwa dan pendirian berhubung dengan isu yang amat besar ini walaupun ia berkaitan dengan Kerajaan Malaysia.

Katanya, kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh Ketua Penerangan PAS Pusat Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man supaya ahli-ahli dan para penyokong parti yang akan menunaikan haji pada tahun ini menundakan haji mereka untuk mengutamakan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) mendapat hentaman hebat bertubi-tubi daripada pihak media arus perdana yang dikelolai Umno dan Barisan Nasional (BN).

"Seandainya (Perdana Menteri) Datuk Seri Najib Razak tetap ingin mengadakan pilihan raya semasa musim haji, maka seramai lebih kurang 20,000 rakyat Malaysia yang sedang menunaikan haji telah terlepas dan terhalang haknya untuk memilih dan mengundi.

"Apa yang membimbangkan Dewan Pemuda PAS dan mengecewakan seluruh rakyat Malaysia amnya, sehingga hari ini Perdana Menteri masih bermain tarik tali untuk membubarkan Parlimen dan sekali gus mengumumkan tarikh PRU13," katanya lagi.

Justeru, katanya, pihak "ingin bertegas untuk mendesak Majlis Fatwa Kebangsaan agar mengeluarkan fatwa atau sekurang-kurangnya pendirian umum Majlis Fatwa berkenaan dengan isu mengadakan pilihan raya dalam musim haji."

Nik Abduh berkata, isu mengadakan pilihan raya semasa musim haji adalah isu yang amat besar dan serius kerana ia melibatkan kehormatan sebagai umat Islam terhadap musim ibadah tersebut dan juga hak rakyat Malaysia seramai lebih kurang 20,000 orang yang terjejas dan kehilangan hak memilih.

Tiada ulasan: