Sabtu, 9 Jun 2012

Gajah naik minyak, Taman Negara Endau-Rompin ditutup sementara

SINAR HARIAN

JOHOR BAHRU - Taman Negara Endau-Rompin kini ditutup sementara kepada pelawat berikutan kejadian apabila seorang gadis Orang Asli cedera dilibas gajah, petang semalam.

Pengarah Perbadanan Taman Negara Johor (PTNJ) Suhairi Hashim berkata, pihaknya menasihati pelawat supaya tidak memasuki kawasan berkenaan atas faktor keselamatan dan laporan polis berhubung kejadian itu dibuat di Balai Polis Kahang dekat Kluang, hari ini.

"Kejadian yang membabitkan kecederaan di kawasan Pantai Burung itu merupakan kejadian pertama.

"Bagaimanapun, kami ada menerima maklumat mengenai sekumpulan kira-kira 30 ekor gajah yang dikatakan naik minyak di kawasan itu sehingga bertindak mengejar pekerja di kompleks Taman Negara beberapa hari lepas," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Suhairi berkata pihaknya bekerjasama dengan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk mengenal pasti punca kejadian yang menyebabkan gajah berkenaan bertindak agresif.

Beliau berkata, sebagai langkah keselamatan, PTNJ membawa keluar 30 pelawat dan penyelidik yang berada di kawasan berkenaan sehingga keadaan kembali pulih.

Katanya, pemantauan terhadap 30 rumah penduduk masyarakat Orang Asli Kampung Peta turut dilakukan bagi mengelak mereka diancam.

"Gajah-gajah ini merupakan aset Taman Negara Endau-Rompin. Oleh itu, kesemua haiwan itu tidak akan dipindahkan ke kawasan lain. Kita akan kenal pasti punca haiwan ini bertindak agresif dalam masa terdekat," katanya.

Dalam kejadian kira-kira 6.30 petang semalam, Zubedah Ayong, 19, mengalami patah bahu kiri dan pinggul kanan selepas dilibas belalai haiwan itu ketika sedang mencari pucuk paku di kawasan berkenaan bersama dua kakaknya.

Zubedah yang tinggal di Kampung Peta kini dirawat di Hospital Sultan Ismail, di sini. - Bernama

Tiada ulasan: