Rabu, 13 Jun 2012

Dewan Rakyat tolak usul bincang kekejaman Syria

Salmiyah Harun,
 
KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat menolak usul yang dikemukakan Salahuddin Ayub (PAS-Kubang Kerian) bagi membincangkan kekejaman pembunuhan yang kini sedang berlaku dengan rakusnya di negara Syria.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Panglima Pandikar Amin Mulia menolak usul tersebut kerana tidak mahu campur tangan dalam kemelut yang berlaku di negara itu.

Menurut Salahuddin, usul tersebut sebagai menyatakan keprihatinan dalam soal kemanusiaan terhadap nasib rakyat Syria yang kini berdepan dengan pembunuhan.

Kini katanya, Presiden Bashar Al-Assad sedang memerangi rakyatnya dengan cara yang amat kejam dan tidak berperikemanusiaan apabila menggunakan senjata berat seperti meriam dan bedilan kereta kebal bagi menghalang bantahan yang sudah sekian lama berlaku.

"Malaysia salah satu anggota OIC perlu memainkan peranan pro-aktif terhadap bantahan kepada pemerintah Syria yang menggunakan kekejaman dan pembunuhan tidak terkawal. Mana mungkin kita negara OIC tidak berbuat apa-apa dalam isu ini," katanya dalam sidang media di lobi Parlimen.

Beliau juga menafikan perbincangan isu ini sebagai tindakan campur tangan sebaliknya mahu melahirkan pandangan bagi mengelakkan rakyat tidak berdosa terus menjadi mangsa.

Malah katanya, Dewan Rakyat pernah meluluskan dan  membahaskan usul pembunuhan beramai-ramai di Tak Bai Thailand, di Lubnan dan Jordan antara tahun 2004 hingga 2008.

"Atas isu kemanusiaan usul tersebut diluluskan untuk dibahas, malangnya kali ini kita usulkan isu di Syria yang hampir sama sebelum ini, ditolak," katanya.

Apa yang berlaku di Syria, bagi Salahuddin ianya bertambah meruncing berikutan serangan senjata berat tidak mengenal siapa sasarannya menyebabkan orang tua, wanita dan kanak-kanak turut terbunuh.

Kekejaman ini, katanya perlu dihentikan segera dan Malaysia perlu menghantar signal jelas kepada pemerintah Syria atas kekejaman yang dilakukan.

Jelasnya, Malaysia perlu mengambil pendirian tegas memulakan protes bantahan dengan mengarahkan penutupan Kedutaan Syria di Kuala Lumpur sebagai bantahan awal.

Sementara itu, Datuk Kamarudin Jaffar (PAS-Tumpat) akan mengusulkan agar Dewan Rakyat turut membincangkan masalah pembunuhan warga Rohingya di Mynamar.

"Kita desak Malaysia sebagai anggota Asean bertanggungjawab membantu menyelesaikan isu tumpahan darah yang berlaku di Myanmar, dalam masa terdekat ini," katanya dalam sidang media bersama.

Tiada ulasan: