Dr.Maszlee Malik, pensyarah Universiti Islam Antarabangsa, adalah pakar dalam bidang politik moen dunia Islam. Beliau memperolehi ijazah sarjana muda di Jordan, ijazah sarjana dari Universiti Malaya dan doktor falsafah PhD dari University Durham, UK. Wartawan Roketkini Hafiz Zainuddin dan Iza Suraiya telah menemu bual tentang Islam, Melayu dan DAP.
Apa pandangan Dr mengenai DAP dalam suasana sekarang?
Mana-mana
parti pun mengalami evolusi, contohnya PAS hari ini tidak sama dengan
PAS pada 90-an, dan PAS 90-an pula tak sama dengan PAS sebelum tahun
1979 iaitu sebelum kepimpinan ulama. Dan sebelum kepimpinan ulama pun
zaman Dato' Asri Muda tak sama dengan zaman Dr.Burhanuddin al-Helmy.
Dalam UMNO pun begitu juga, begitu juga dengan PKR sebelum Anwar
dibebaskan dengan selepas dibebaskan. Seluruh dunia, mana-mana parti
akan mengalami perubahan.
Pada
pendapat saya, DAP selepas 2008 nampak banyak perubahan drastik. Cuma
bagi orang luar, pertama kita terpaksa berlawan dengan prejudis.
Keduanya ialah propaganda oleh BN, ketiganya dengan tingkah laku
pimpinan-pimpinan DAP yang tidak mewakili parti dalam tindakan mereka.
Orang Melayu contohnya, prejudis lebih mudah… tak payah kaji, tak payah
pening kepala dan sebagainya.
Adakah
perjuangan DAP yang berideologi demokrasi sosial yang meliputi keadilan
sejagat boleh dianggap sebagai sebahagian dari konsep perjuangan Islam
itu sendiri?
Mungkin kita tidak kata begitu
tetapi ada di antara perjuangan tersebut yang tidak bersalahan dengan
Islam sebab hukum asal penglibatan politik dalam Islam adalah bersifat
"harus". Halal, kecuali perbuatan itu (berpolitik) bertentangan dengan
syariat…. Saya melihat, perjuangan DAP tidak bersalahan dengan Islam
tetapi mengatakan segala-galanya (dalam DAP) adalah Islam, itu tidak
lagilah, perlu perbincangan lanjut.
Contohnya
kalau pun saya mengatakan bahawa agama saya lebih benar dari agama A
atau B, tetapi itu bukan bermaksud saya kena mendiskriminasi A atau B.
Atau perlu bermusuhan atau boleh menzalimi mereka. Itu konsep umum
dalam muamalat iaitu keadilan, amanah dan ehsan.
Bagaimana
dengan prejudis yang mengatakan menyertai DAP itu tidak sesuai dengan
Islam kerana menjadikan orang bukan Islam sebagai pemimpin?
Perkara
ini perlu kita faham. Dalam persoalan ini, adakah pemimpin itu
pimpinan tertinggi? Atau pimpinan agama? Atau pimpinan sebagai wakil
untuk perjuangkan hak-hak bersama? Kalau memilih pemimpin untuk
perjuangkan hak bersama, tidak ada salahnya. Melainkan memilih pemimpin
bukan Islam sebagai pemimpin agama dan pemimpin "tertinggi". Di
Malaysia pemimpin tertinggi kita ialah Yang di-Pertuan Agong. Perkara
ini isu sentimen yang perlu ditangani.
Walau
bagaimanapun, masih ramai kalangan ulama yang tidak membezakan apa itu
wakil untuk perjuangkan hak bersama, pemimpin tertinggi dan pemimpin
agama. Untuk melantik pemimpin yang bukan Islam, pertama dia tidak
boleh memusuhi Islam, keduanya perjuangannya tidak bertentangan dengan
syariah. Semasa kerajaan Islam Andalusia, ada sahaja menteri dan
wakil-wakil yang dilantik di kalangan bukan Islam.
Apakah Dr merasakan perjuangan DAP yang berlandaskan demokrasi sosial sesuai untuk semua rakyat Malaysia?
Begini,
di dalam melihat kepada ideologi perjuangan (DAP), jika kita ikut
kaedah konvensional "Islamis", isme-isme ini tidak diterima. Tetapi,
Islamis generasi baru atau demokrat Islamis seperi Ganushi dan
sebagainya, dia kena lihat mengikut kes.
Maksudnya,
kita boleh bersetuju untuk tidak bersetuju. Contohnya dalam ideologi
demokrasi sosial, saya mungkin tidak bersetuju dengan konsep sosialis,
tetapi kita boleh bersetuju untuk tidak bersetuju dan sebagai demokrat
kita juga memperjuangkan hak setiap pihak untuk menyuarakan idea mereka.
Yang kita tidak mahu adalah paksaan terhadap ideologi.
Sama
ada sesuai atau tidak ia ditentukan oleh kecenderungan individu, hatta
kalau kita lihat dalam sebuah negara komunis pun ramai saja yang rasa
ideologi komunis tidak sesuai. Di Amerika pun ramai juga geng-geng
komunis. Dalam kerangka politik demokrasi bukan bermaksud sesuai untuk
semua tetapi setiap pihak berhak untuk bersuara dan mengemukakan idea
mereka dan bagi demokrat, kita memperjuangkan hak setiap orang untuk
diberikan hak mereka untuk bebas menyuarakan idea. Begitu juga pihak
yang menyuarakan idea perlu bersedia untuk menerima kritikan, bangkangan
atau pun penolakan terhadap apa yang mereka bawa.
Adakah
Dr merasakan kemasukan kalangan Melayu ke dalam DAP bukan sesuatu yang
bersifat sementara dan ianya satu perkembangan yang baik?
Saya
rasa, kemasukan orang Melayu satu hal tetapi kita perlukan kepimpinan
yang berkarisma. Mungkin ada tapi belum nampak. Perlu ada kepimpinan
yang berkarisma dari kalangan orang Melayu yang dilihat mewakili Melayu
Islam.
Saya yakin kalaulah kata pemilihan
jawatankuasa eksekutif pusat (CEC) DAP itu berasaskan meritokrasi, kita
punya ramai orang Melayu yang mempunyai merit tapi orang Melayu tak
perlu takut bersainglah. Banyak saja orang Melayu yang berjaya di luar
dan di dalam negara. Mengapa tidak dalam DAP yang lebih kecil?
Jika
kita meneliti situasi sekarang, apa yang berlaku ke atas DAP seperti
perkauman dan sentimen agama yang dimainkan UMNO-BN telah menakutkan
orang Melayu terhadap DAP. Pandangan Dr?
Saya
rasa, isu ketakutan orang Melayu ini benda "real", ini realiti. Pada
saya the way foward ialah pihak media terutamanya mainstream media perlu
beri ruang kepada semua untuk mengemukakan idea dan membela diri
mereka. Apa yang diperlukan ialah kebebasan media dan jurnalisme yang
beretika. Jadi setiap pihak boleh kemukakan idea, mempertahankan idea
mereka dan juga membela diri mereka di dalam ruang awam.
Contohnya
DAP sendiri yang orang berprasangka (buruk) terhadapnya, maka bagi
peluang kepada DAP buat dokumentari mengenai parti untuk ditayangkan.
Beri peluang untuk berdebat dan mempertahankan. Dan yang lebih penting
kadang-kadang saya lihat sikap orang Melayu itu sendiri kena diubah,
iaitu perlu lebih (berfikiran) kritikal. Itu masalah utama sebenarnya.
Bila
datang sesuatu perkara, kita biasanya terus terima atau terus tolak.
Kurang untuk kita bertanya "apa" dan "kenapa" kemudian "so what".
Mungkin kita kata "apa?" kemudian kurang bertanya "kenapa". Orang
Melayu bila dia mula bertanya "kenapa", itu kira dah upgrade dah
tu…(ketawa)
Untuk politik baru, kita kena pergi
kepada "so what". Faktor "so what" itu yang kita hilang dan kita kena
tanamkan ke dalam masyarakat kita. Orang Melayu bukan tidak berfikiran
kritikal tetapi berfikiran kritikal dalam masyarat Melayu tidak
dibudayakan.
Dengan adanya PAS dan PKR,
kerajaan UMNO-BN menuduh mereka memecahbelahkan orang Melayu. Apabila
orang Melayu semakin terbuka dan mendampingi DAP pula, ia dimomokkan
dengan perpecahan Melayu yang semakin parah. Pandangan Dr?
Kenapa
kita tak lihat bahawa orang Melayu semakin mendominasi politik!?
Dahlah ada dua parti, dalam PKR pun dia (Melayu) dominasi, sekarang
dalam DAP pun semakin mendapat tempat di hati orang Melayu. Dan kalau
MIC dan MCA buka keahlian pun, orang Melayu akan masuk juga. Bagi saya
ia merupakan perkara natural sebab komposisi orang Melayu dan Bumiputera
adalah lebih ramai dari kaum lain.
Saya tidak
kata perpercahan tidak wujud. Perpecahan orang Melayu memang wujud
semenjak zaman Hang Tuah lagi. Persoalannya bagaimana kita nak
menangani apa yang dinamakan sebagai "perbezaan pendapat". Benda tu
(perpecahan) benda normal sebab kita manusia.
Persoalannya,
apakah yang dinamakan perpecahan itu jikalau apa yang dimaksudkan ialah
"UMNO semakin semakin hilang dokongan orang Melayu dan orang Melayu
pergi mendokong parti selain bukan UMNO", adakah itu perpecahan? Bagi
saya itu bukan perpecahan. Itu bermaksud, susutnya sokongan orang
Melayu terhadap UMNO, jadi UMNO perlu kreatif dengan cara gentlemen
meyakinkan semula orang Melayu dan bukan dengan memainkan gendang
perpecahan.
Mampukah UMNO melakukan reformasi? Jika mampu, mungkinkah Dr akan bersama UMNO?
Keluarga
saya keluarga UMNO, datuk nenek saya antara pejuang UMNO; orang Johor
menentang Malayan Union. Bapa saya sehingga meninggal duni dia masih
ahli UMNO walaupun di ketika itu sudah tidak menyokong UMNO lagi. Ibu
saya sudah meningglakan UMNO tetapi kemudian dia tidak menjadi ahli
mana-mana parti.
Bagi saya, sebagai ahli akademik,
kita mempunyai kecenderungan kita masing-masing. Cuma, selepas
kepulangan saya dari UK, saya belum nampak lagi mana-mana parti yang
menepati aspirasi saya untuk saya dokongi.
Apa aspirasi Dr?
Itu
yang menarik. Politik di Malaysia masih bertunjangkan politik
identiti. Kita lebih nak pergi kepada politik idea. Walaupun parti
seperti Gerakan, DAP, PSM adalah parti yang bertunjangkan idea, tetapi,
kerangka politik Malaysia itu tidak menyuburkan mereka untuk membawa
idea dan mereka kadang-kadang terheret sama. Bukan salah mereka.
Sebagai
orang akademik, lebih baik saya ambil peluang untuk mendidik masyarakat
bagai mana mencapai ke arah politik idea. Jadi, kalau saya sudah
mengambil sikap partisan, maka saya rasa saya akan menggagalkan usaha
yang saya lakukan.
Cuma, dalam mendidik masyarkat
kita perlu "vokal", jadi bila kita vokal, seringkali orang kaitkan ia
dengan pembangkang, itu tak betul. Kita perlu wujudkan bahawa sikap
vokal perlu ada kepada semua. Sikap kritikal juga perlu ada kepada
semua, begitu juga sikap analitikal, bukan hanya dalam pembangkang hatta
dalam UMNO sendiri.
Ada penyokong UMNO-BN menuduh Dr cendurung kepada pembangkang, benarkah begitu?
Satu
masalah persepsi dalam UMNO ini, kalau kritik dia (UMNO) itu dikata
pembangkang. Saya agak berasa bebas kalau saya kritik pembangkang,
pembangkang tak pula kata saya UMNO. Ada juga saya kritik PAS, begitu
juga PKR dan DAP dalam sesetengah isu. Kritikan saya dalam PAS mungkin
berkaitan isu-isu konservatisme segelintir ahli atau pimpinan PAS. Di
dalam DAP, ada beberapa kenyataan-kenyataan mungkin kurang menyenangkan
yang tidak menjaga sensitiviti, mungkin sekarang dah berubah,
wallahualam saya tak tahu…dalam PKR pula kita nampak lebih tertumpu
kepada satu keluarga atau kelompok yang membentuk PKR itu sendiri.
Mungkin, semua itu akan berubah, tak ada orang yang akan kekal.
Jadi
bagi saya bila kita mengkritik, kita berdasarkan apa yang kita yakini
dan bukan untuk kita asosiasikan. Dan dalam perkara ini kita nampak
pembangkang agak rasional; bila apabila dikritik dia tidak kata kita
UMNO. Saya mengharapkan peluang untuk ahli akademik untuk bersuara
tanpa mereka dilabel.
Semasa wacana "Melayu,
Islam dan DAP" anjuran Roketkini di Shah Alam pada 1 April lalu, Dr
menyentuh kemungkinan kemasukan golongan "Islamis" dalam DAP. Apakah Dr
merasakan DAP sebagai sebuah parti sekular perlu "bermain" dengan agama?
Ada
dua isu di situ. Pertama; isu takrifan sekular dan keduanya isu
berkaitan penglibatan golongan Islamis atau pun golongan agama. Kalau
takrifan sekular seperti yang dikatakan oleh Zairil (yakni Zairil Khir
Johari yang mewakili DAP dalam wacana tempoh hari), sekular tu bukan
yang menentang agama tetapi lebih kepada bahawa agama tidak digunakan
sebagai alat diskriminasi dalam pentadbiran.
Bagi
sesetengah orang mungkin tak ada masalah tetapi perkataan "sekular" itu
sendiri bagi kebanyakan Islamis ia sebagai benda yang taboo. Jadi, itu
sebagai salah satu kekangan untuk golongan "Islamis" masuk. Pada saya
mungkin tak ada masalah tapi ia perlu diperbincangkan lagi adakah sesuai
gunakan perkataan "sekular" atau ada perkataan lain yang lebih sesuai
misalnya perkataan "neutral", "profesional", tetapi kalau sekular
konotasinya orang boleh tafsir pelbagai.
Keduanya
isu penglibatan Islamis; Islamis tidak semestinya mereka yang ingin
mengembangkan faham agama dalam DAP. Tak, bukan itu tetapi sebenarnya
Islamis yang berfikiran moderat dan demokrat dan boleh memilih bahawa
DAP adalah satu platform, mereka memperjuangkan communalities iaitu
perkara yang boleh disepakati berkaitan isu pentadbiran, isu ekonomi.
Jika istilah "sekular" dianggap taboo, perlukah label "Islamis" itu digunakan?
Oh
ya, kerana mereka mempunyai aspirasi Islam. Muslim satu hal, Islamis
satu hal. Mungkin saja ada Muslim yang sekular, mungkin saja ada Muslim
yang komunis, tetapi kalau Islamis ini dia merujuk kepada ideologi
Islamis itu sendiri.
Islamis ini dikaitkan dengan
orang yang mengamalkan Islam. Bagi setengah pihak ia secara
fundemental. Maksudnya bukan hanya sekadar sembahyang dalam kehidupan
malah ia diterjemahkan kepada identiti mereka, di dalam perkataan yang
digunakan, di dalam budaya, di dalam cara mereka berfikir, dia ada
kerangka-kerangkanya.
Macam baru-baru ini saya ada
berbincang dalam satu kumpulan untuk menggerakkan filem Islam di
Malaysia. Jadi gabungan golongan akademik so called ahli agama ni
dengan penggiat filem yang mempercayai di sana adanya genre filem Islam.
Ini Islamis hatta dalam budaya pun mereka ada kerangka dia sendiri.
Jadi
sejauh mana golongan Islamis ni boleh bergerak di dalam kerangka DAP di
atas dasar communalities tetapi dalam satu waktu, kekal dengan identiti
mereka dan beramal dengan apa yang mereka percayai dan cuba berbincang
untuk meyakinkan orang dengan identiti mereka atau pun menjual idea
mereka.
Adakah ideologi demokrasi sosial DAP tak bertentangan dengan idea Islamis?
Setakat
ini demokrasi itu, sikap demokrat dalam DAP sepatutnya mengalu-alukan
kehadiran idea yang pelbagai seperti mana kalau kita lihat dalam UMNO
pernah mengalu-alukan golongan Islamis seperti Anwar dengan ABIMnya,
dalam PKR wujudnya kalangan Islamis tetapi bukan dalam blok seperti Dr
Nor Manuty, Fuziah Salleh dari JIM dan Mustafa Kamil Ayub. Jadi mereka
ini Islamis.
Jadi sejauh mana politik ideologi
demokrat yang dipegang oleh DAP membenarkan adanya kepelbagaian dan
wujudnya perbincangan atau pertandingan idea. Pertandingan tidak
semestinya ada menang ada kalah, kadang-kadang seri. Tapi yang penting
communalities itu disepakati.
Sekarang ni saya
lihat, kalaulah ada, bukan seorang bukan dua orang individu, tetapi
kelompok Islamis yang boleh melihat peluang ruang dalam DAP untuk mereka
isi berdasarkan communalities, ia akan membentuk satu suasana politik
baru di Malaysia. Secara tak langsung ia memperkukuhkan Islam,
memperkukuhkan kedudukan umat Islam dan memberikan satu sinar baru
bahawa umat Islam adalah umat yang tidak takut kepada idea.
Tapi
kita boleh engage, kita boleh bincang dan benda ni bukan baru. Kalau
kita tengok Islamis di Mesir sebelum revolusi, Ikhwanul Muslimin pernah
sertai Parti Wafd. Juga Islamis di tempat lain, mereka yang tak ada
peluang untuk tubuh parti di atas identiti agama, mereka bergiat dalam
parti-parti kebanyakan sosialis. Macam di Turki agak berbeza, mereka,
golongan Islamis membentuk satu parti yang sekular dan rakan kongsi
mereka bukan di kalangan golongan Islamis. Tidak ada masalah dan mereka
boleh bawa ekonomi Turki dan Islam sekarang ni lebih bebas di Turki
berbanding sebelum ni walhal mereka membawa banner sekular.
Dr rasa demokrasi sosial baik untuk Malaysia?
Saya
tak pasti sama ada demokrasi sosial sekarang ini versi rigid kerana DAP
sendiri telah berubah dan menerima pasaran bebas yang biasanya ini
lebih kepada pentadbiran Jerman yang punya ideologi social market.
Adakah itu yang dimaksudkan demokrasi sosial yang dipegang DAP sebab
saya melihat ya memang ada unsur sosialisme dalam DAP tetapi ia tidaklah
dalam keadaan sosialisme puritan. Kalau puritannya sudah ada parti
sosialis, sosial demokrasi itu pun ada pelbagai genrenya. Adakah dia
mazhab New Labour, adakah ia bermazhab Scandinavian welfare state atau
pun bermazhab social market Jerman atau bagaimana.
Mungkin dalam kerangka menjinakkan kapitalisme?
Ikut
trend sekarang semua ideologi bergerak ke tengah, persoalannya versi
mana? Kalau New Labour, ia bergerak dari the traditional lefties labour
towards the right di bawah Tony Blair. Bagi golongan liberal, ia
bergerak daripada kanan, kapitalis yang totok itu kepada tengah yang
dinamakan centre right.
Situasi Dr di mana?
Islam berada di tengah, saya bersama Islam. (ketawa)
Harapan Dr kepada DAP?
Saya
berharap akan ada kelompok Islamis yang berani untuk bersama di atas
dasar communalities bagi mencorakkan politik baru Malaysia dengan
kemasukan dalam DAP. Tapi persoalannya siapa?
Mungkin Dr sendiri?
Saya
tak pasti (ketawa) sebab saya tekankan saya sebagai ahli akademik perlu
kekal sebagai neutral sebab target nak mendidik masyarakat…
Adakah keputusan (Naib Pengerusi DAP) Tunku Aziz keluar parti memberi kesan kepada sokongan Melayu terhadp DAP?
Tunku Aziz mewakili orang Melayu ke? Itu yang kita kata DAP perlukan "pemimpin yang karismatik"…
*Dipetik dari Roketkini. (http://roketkini.com/2012/06/01/dap-dari-sudut-pandang-seorang-islamis/)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan