Mijie Yusoff, |
KUALA KRAI: Pemimpin Umno antara pihak pertama yang wajar dikenakan hukuman di bawah hudud kerana mencuri wang royalti minyak milik rakyat Kelantan.
Pengerusi PKR Johor, Datuk Chua Jui Meng berkata, royalti sebanyak 5 peratus yang wajib dibayar kepada Kelantan setiap tahun dinafikan pemimpin Umno sehingga sekarang.
“Kalau hukum hudud sudah dapat dilaksanakan di Kelantan merekalah orang pertama yang boleh dikenakan hukuman potong tangan kerana 'mencuri' wang royalti.
“Kalau ramai pemimpin Umno hilang tangan nanti ia sudah tidak pelik lagi kerana kesalahan mencuri duit royalti rakyat Kelantan,” katanya pada ceramah menuju Putrajaya di sini malam tadi.
Hadir sama anggota Exco kerajaan negeri, Dato’ Mohd Amar Abdullah, Ketua Pemuda PAS Kelantan, Abdul Latif Abdul Rahman, Adun Manek Urai, Mohd Fauzi Abdullah, Adun Guchil, Tuan Zamri Ariff Tuan Zakaria dan wakil-wakil kaum.
Orang ramai termasuk penduduk Tionghoa dan India memenuhi sekitar tempat ceramah berlangsung di perkarangan Dewan Sri Guchil.
Chua yang juga bekas Menteri Kesihatan berkata, beliau pernah ditawarkan MCA jawatan penting dalam syarikat milik kerajaan dengan bayaran gaji lumayan sebelum menyertai PKR.
“Tetapi saya menolak. Apa guna emas dan perak yang banyak kalau akan tinggalkannya juga akhirnya.
“Lagi pun semua orang tahu Umno dan BN banyak terpalit dengan isu rasuah. Sedangkan ada hadis yang menyebut ‘orang yang memberi dan menerima rasuah akan masuk neraka’,” katanya.
Beliau juga meluahkan rasa hairan rakyat negara ini seperti ditipu kerana harga kereta nasional di Malaysia jauh lebih mahal berbanding yang dipasarkan di luar negara.
Misalnya kereta Proton Waja dijual di Malaysia dengan harga RM70,000 tetapi di Arab Saudi kereta sama hanya berharga RM33,000. Begitu juga harga kereta di Langkawi lebih murah berbanding di tempat lain di negara kita.
“Ini kerana kerajaan mengenakan cukai yang tinggi terhadap kereta nasional biar pun rakyat sendiri terbeban,” katanya.
Oleh itu beliau berharap pengundi di kawasan parlimen Kuala Krai mengekalkan kemenangan yang ada sekarang pada pilihan raya umum ke-13 nanti.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan