Sabtu, 9 Jun 2012

Cucu pijak tangan nenek sampai patah

KL TODAY


 

Seorang nenek menerima penghinaan dan penganiayaan apabila disepak dan dipijak cucunya sendiri hingga patah tangan kanan, dalam kejadian di Balai Ringin, baru-baru ini di Serian, Sarawak.

Dalam kejadian sekitar 7.30 pagi pada 1 Jun lalu, warga emas berusia 87 tahun itu diserang cucu lelakinya yang berusia awal 20-an, ketika beliau memberi makan ayam di halaman rumahnya.Cucu mangsa bagaikan dirasuk apabila menyepak neneknya hingga tersungkur.

Mangsa cuba bangun semula tetapi belum sempat berbuat demikian, cucunya memijaknya beberapa kali.

Lelaki itu hanya menghentikan perbuatan itu selepas mangsa menjerit kesakitan dan merayu tidak disakiti sebelum beliau diselamatkan seorang ahli keluarga lain yang menyaksikan kejadian.

Ketua Polis Daerah Serian, Timbalan Superintenden Jamali Umi, berkata mangsa membuat laporan di Balai Polis Serian pada hari kejadian.

“Daripada keterangannya, mangsa mendakwa sebelum ini berlaku perselisihan faham antara beliau dengan ibu suspek sehingga beliau dihalau keluar dari rumah.

“Mangsa mendakwa dihalau selepas menyerahkan geran rumah pusaka yang didiaminya kepada ibu suspek dan sejak itu dia diberi layanan buruk oleh keluarga itu.

“Mangsa yang tidak mempunyai tempat bergantung terpaksa menerima semua perbuatan keluarganya dan paling teruk apabila beliau dibelasah hingga cedera tanpa diketahui punca kejadian,” katanya ketika dihubungi.

Encik Jamali berkata selepas membuat laporan polis, dengan bantuan saudara dan jiran, mangsa dihantar ke Hospital Serian dan kini beliau menumpang di rumah jiran.

Mengulas kejadian itu, Penasihat Majlis Agama Islam Johor (MAIJ), Datuk Noh Gadut, berkata tindakan memukul nenek, hukumnya berdosa besar sama seperti mengasari dan menderhaka ibu bapa.

Menurutnya, kurang didikan yang sempurna daripada awal pembesaran anak punca utama berlakunya kejadian seperti itu.

Beliau berkata, ibu bapa lelaki terbabit perlu muhasabah diri dan bukan menjadi batu api melagakan anak dengan nenek sehingga tercetusnya pergaduhan.

“Walaupun dalam apa juga keadaan dan masalah yang timbul, tidak seharusnya warga emas dikasari, sama ada anak atau cucunya,” katanya.

Tiada ulasan: