KOSMO
KUALA LUMPUR — Kisah biduanita negara Allahyarham Salmah Ismail atau lebih dikenali sebagai Saloma, dan perjuangan seninya, kini diabadikan dalam buku hasil nukilan artis Ahmad Fauzee Samad.
Ahmad Fauzee berkata penghasilan buku "Saloma" mengambil masa 17 bulan sejak Januari tahun lepas dengan galakan dan bantuan kakak Saloma, seniwati Mariani Ismail.
"Buku ini merupakan buku pertama diterbitkan khas buat selebriti wanita tanah air. Saya mengambil masa hampir 17 bulan untuk menghasilkan buku ini (yang berkisar) mengenai perjuangan Saloma ketika bergelar anak seni," katanya semasa berucap pada pelancaran buku itu di sini malam tadi.
Turut memeriahkan majlis pelancaran itu ialah seniman Datuk Mustapha Maarof, Kuswadinata dan seniwati Toh Puan Julie Faridah.
Ahmad Fauzee juga berkata beliau membuat rujukan di Arkib Negara bagi menghasilkan buku setebal 500 muka surat itu.
"Saloma, yang terkenal dengan genre muzik dan menjadi ikon fesyen, diintepretasikan melalui penulisan buku ini,” katanya.
Ahmad Fauzee berkata sebahagian kutipan hasil penjualan buku itu akan disalur kepada tujuh waris yang merupakan cucu biduanita negara tersebut. — BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan