SABAH KINI.
KUALA
LUMPUR : Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata Barisan
Nasional (BN) tidak terikat kepada desakan mana-mana parti politik atau
pemimpin termasuk pembangkang untuk menetapkan tarikh pilihan raya.
Beliau yang juga
Pengerusi BN dan Presiden Umno berkata mengadakan pilihan raya semasa
musim haji juga bukan sesuatu yang baru kerana sejarah menunjukkan ia
pernah dilakukan sebelum ini tetapi menegaskan ibadah perlu diutamakan
berbanding sebarang urusan lain termasuk pilihan raya.
“Dalam
sejarah kita, kita pernah buat pilihan raya masa musim haji. Pilihan
raya tahun 1986 kalau tak silap saya. Ada ahli jawatankuasa bahagian
saya yang kebetulan hendak dicalon menjadi calon pilihan raya tapi saya
tak dapat berhubung dengan dia sebab dia berada di Mekah.
“Bila
dia balik, dia terima hakikat bahawa dia tak dapat jadi wakil rakyat
sebab kalau dia bertanding, dia menang pada masa itu,” katanya kepada
pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di
Menara Dato Onn di sini, hari ini.
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Mansor.
Beliau
berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Timbalan Presiden
PAS Mohamad Sabu yang mendakwa Perdana Menteri akan menanggung dosa
sekiranya pilihan raya diadakan pada musim haji.
Najib
berkata kerajaan tidak menyekat sesiapa pun yang ingin menunaikan haji,
dan mereka wajib meneruskan untuk menunaikan ibadah itu jika ketetapan
telah dibuat (untuk mengerjakan haji).
Diminta
mengulas senario debat antara pemimpin parti politik yang semakin kerap
diadakan kebelakangan ini, Najib berkata debat bukanlah budaya yang
menyeluruh dalam sistem politik negara tetapi boleh diadakan jika
keadaan memerlukan.
Ditanya
sama ada beliau akan menerima pelawaan debat dengan pembangkang, Najib
berkata: “Saya tak kata apa... yang penting rakyat mesti ada maklumat
secukupnya untuk buat keputusan.”
Perdana
Menteri berkata apa yang penting adalah rakyat mempunyai maklumat
secukupnya untuk memilih pihak mana yang lebih layak mentadbir negara.
“Kita
beri parti politik untuk siarkan manifesto bila sampai masanya dan
mereka pun cukup aktif sekarang buat ceramah setiap hari... dan kita pun
terangkan kepada rakyat jadi mereka dapat maklumat yang secukupnya
untuk buat keputusan.
“Sama
ada agenda kita lebih baik atau agenda pembangkang lebih baik. Sama ada
kita ada kemampuan untuk laksanakan, tunaikan atau pembangkang lebih
meyakinkan kepada rakyat. Itu mesti kita paparkan kepada rakyat bukan
soal debat,” katanya. (Bernama)
|
Tiada ulasan:
Catat Ulasan