Jumaat, 22 Jun 2012

BN, PR kata OK jika PRU di akhir mandat

Jamilah Hamzah

parlimen
 
 
 SHAH ALAM - Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR) menyambut baik syor Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz bahawa Pilihan Raya Umum(PRU) hanya diadakan di hujung mandat lima tahun, bukannya seperti sekarang.

Pemimpin kerajaan BN dan PR bersetuju dengan cadangan diusulkan Nazri semalam, yang turut menyatakan beliau secara peribadi bersetuju dan bersedia untuk menjadi pemangkin kepada langkah PRU diadakan selepas mandat penuh lima tahun berakhir.

Ahli Majlis Tertingi Umno, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, ia satu cadangan yang baik kerana menjadikan sistem demokrasi lebih teratur.

"Dari segi kerajaan, ia dapat laksanakan tugas dan amanah dengan lebih terancang.

"Dari segi rakyat, mereka dapat menikmati  dan menilai pelaksanaan program pembangunan dengan lebih selesa tanpa risau tentang tarikh PRU," kata Ahli Parlimen penggal pertama ini.

Saifuddin berkata lagi, dari segi perniagaan dan pelaburan, keadaan politik stabil membantu merancakkan perniagaan manakala pelabur luar lebih mudah untuk membuat keputusannya.

Dalam pada itu, Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan berkata, terpulang kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak untuk memutuskan bila masa yang sesuai untuk tarikh PRU.

"Terpulang kepada Perdana Menteri untuk putuskan bila masa yang sesuai setelah diberi maklum balas oleh pelbagai pihak.

"Saya setuju jangan terlalu awal, dan jangan terlalu akhir untuk tarikh PRU," kata beliau ketika dihubungi Sinar Harian Online, hari ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri ini turut berkata, keistimewaan Perdana Menteri dengan budi bicaranya perlu ada untuk menyelesaikan masalah pemilihan tarikh PRU.
"Peruntukan agar Perdana Menteri dengan budi bicaranya itu patut ada.

"Kadang-kadang ada masalah dan isu tertentu dan sebab itu, mengapa budi bicara Perdana Menteri perlu dalam tangani masalah untuk tarikh PRU," katanya lagi.

Ahmad berkata, tarikh PRU yang tidak pasti mempunyai kebaikannya bagi memastikan pemimpin sama ada kerajaan atau pembangkang berkhidmat untuk rakyat sepanjang masa.

"Kadang-kadang ada baiknya tarikh yang tak pasti kerana ia akan jadikan wakil rakyat sentiasa bekerja," katanya.

Setiausaha Agung MIC, Datuk S. Murugessan berkata, ia terpulang kepada Perdana Mneteri untuk mengumumkan tarikhnya.

"Itu adalah di bawah kuasa Perdana Menteri, terpulang kepada beliau bila tarikh untuk diumumkan PRU nanti.

"Ia tak banyak beza sama ada tarikhnya empat tahun atau lima tahun selepas berakhirnya mandat tersebut," katanya lagi.

Dalam pada itu, Timbalan Presiden Pas Mohamad Sabu berkata, beliau turut bersetuju dengan cdangan tersebut kerana mereka dapat membuat pilihan calon lebih awal.

"Kita bersetuju, namun perlu diberitahu awal untuk memudahkan kami membuat pilihan calon awal.

"Tapi kenyataan itu perlu keluar daripada mulut Perdana Menteri sendiri," katanya.

Beliau yang turut dikenali sebagai "Mat Sabu" berkata, jadual yang tetap dapat mengurangkan tekanan ke atas pemimpin termasuk pemimpin kerajaan yang menunggu tarikh pilihan raya.

"Perdana Menteri perlu beritahu awal bukannya dengan tiba-tiba, esok mereka umum pula tarikh PRU," katanya lagi.

Timbalan Pengerusi DAP Kebangsaan,  Dr Tan Seng Giaw juga bersetuju dengan cadagan Nazri atas alasan PRU perlu dilangsungkan selepas genap lima tahun walaupun mempunyai keburukan dan kebaikannya.

"Cadangan PRU dilangsungkan pada genap lima tahun ada pro dan kontra.

"Saya setuju. Tidak kira keadaannya ketika itu, semua pihak mesti membuat persiapanya," katanya.

Seng Giaw yang juga Ahli Parlimen Kepong berkata, spekulasi mengenai tarikh PRU tidak wujud lagi dan tumpuan oleh kedua parti sama ada pembangkang atau kerajaan akan lebih kepada dasar dan prestasi parti.

"Spekulasi mengenai tarikh PRU tidak wujud lagi. Mungkin tumpuan semua pihak akan menuju ke dasar dan prestasi parti-parti," tambah Seng Giaw.

Tiada ulasan: