Selasa, 12 Jun 2012

Bersih 3.0: Suhakam bebas buat inkuiri sendiri

SINAR HARIAN

Suhakam
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia
 
 
KUALA LUMPUR - Kerajaan tidak memberikan peranan kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) untuk menyiasat dakwaan keganasan yang berlaku pada perhimpunan Bersih 3.0, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.
  
Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Abu Seman Yusop bagaimanapun berkata kerajaan tidak menghalang sekiranya Suhakam ingin menubuhkan panel siasatan awam.
  
"Kerajaan tidak menghalang penubuhan panel itu berdasarkan bidang kuasa diperuntukkan di bawah Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) 1999," katanya menjawab soalan Datuk Noraini Ahmad (Parit Sulong-BN).
  
Noraini bertanya adakah kerajaan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang menjadi penganjur Bersih 3.0 yang telah menjadi protes jalanan yang ganas mengancam keselamatan dan ketenteraman awam.
  
Mengenai tindakan terhadap Datuk S. Ambiga dan sembilan lain yang bertanggungjawab terhadap perhimpunan itu, Abu Seman berkata polis telah mengemukakan laporan siasatan kepada Jabatan Peguam Negara dan setakat ini belum menerima apa-apa maklum balas.
  
Beliau berkata, sekiranya penganjur dan peserta perhimpunan itu mematuhi Akta Perhimpunan Aman 2012, keganasan yang menggugat keselamatan dan ketenteraman awam tidak akan berlaku.
  
"Akta itu berkuatkuasa pada 23 April lepas, namun sehingga perhimpunan dijalankan pada 28 April tiada individu atau penganjur menghantar notis pemberitahuan kepada polis berkaitan perhimpunan berkenaan.
  
"Kerajaan tidak pernah menyekat kebebasan berhimpun dan bersuara, namun penyalahgunaan kebebasan berhimpun dan bersuara seperti mengadakan demonstrasi jalanan sehingga mengganggu ketenteraman sewajarnya dielakkan," katanya.
  
Menjawab soalan tambahan Noraini, Abu Seman berkata berdasarkan maklumat diperoleh sebelum perhimpunan Bersih 3.0 pada 28 April lepas, pembangkang dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) jelas menghasut rakyat untuk melakukan keganasan pada perhimpunan itu.
  
"Dalam satu majlis 'countdown' (perhimpunan) pada 26 dan 27 April lalu, pembangkang dan NGO telah menghasut para hadirin pada majlis tersebut yang dihadiri kira-kira 3,000 orang supaya bertindak agresif yang boleh jejaskan keselamatan dan ketenteraman awam.
 
"Pembangkang juga telah mengapi-apikan peserta antaranya 'jika dataran dikawal polis kita rempuh masuk', memaklumkan apapun berlaku mereka tetap berhimpun di Dataran Merdeka dan 'biarpun polis dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur pasang kawat duri tindakan merempuh akan berlaku'," katanya.
  
Dewan Rakyat kemudiannya kecoh akibat pertikaman lidah antara anggota Parlimen Barisan Nasional (BN) dan pembangkang berpunca daripada soalan tambahan Lim Kit Siang (Ipoh Timur-DAP) yang mempertahankan perhimpunan itu.
  
Ketika menjawab soalan Lim, Abu Seman berkata pembangkang tidak sepatutnya berbangga dengan kehadiran penyokong mereka secara sukarela pada perhimpunan itu walhal mereka sebenarnya telah dihasut.
  
Pertikaman lidah itu berterusan apabila Fong Po Kuan (Batu Gajah-DAP) dan Chong Eng (Bukit Mertajam-DAP) mempersoal keputusan Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Ronald Kiandee yang memberi soalan tambahan ketiga kepada Datuk Lilah Yasin (BN-Jempol) kerana soalan asal ditanya wakil BN, Noraini.
  
Pertikaman lidah itu membuatkan Kiandee mengeluarkan kenyataan tegas: "Speaker telah membuat keputusan, tolong ikut keputusan tak perlu kita bertegang begini".
  
Lilah kemudiannya bertanya adakah kerajaan bercadang mendakwa pembangkang di bawah Akta Hasutan 1948 kerana menghasut rakyat melakukan keganasan pada perhimpunan Bersih 3.0.
  
Menjawab soalan tersebut, Abu Seman berkata kerajaan mahu Panel Penasihat Bebas mengenai rusuhan pada Bersih 3.0 mencari maklumat yang sebenar dan lebih teliti dahulu. - Bernama

Tiada ulasan: