Rabu, 13 Jun 2012

Bersih 3.0 di Saudi 'panaskan' Dewan Rakyat

SINAR HARIAN

KUALA LUMPUR - Kedutaan Arab Saudi telah menghantar nota diplomatik kepada Kementerian Luar Malaysia berikutan tindakan segelintir rakyat Malaysia yang mengadakan perhimpunan Bersih di bandar sudi Makkah dan Madinah pada 26 April lepas, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Luar Senator A.Kohilan Pillay berkata, tindakan Ketua Dewan Pemuda Pas, Nasrudin Hassan at-Tantawi menganjurkan perhimpunan Bersih di Makkah dan Moktar Senik di Madinah yang membabitkan pelajar serta rakyat Malaysia di negara itu, adalah amat dikesali dan menjejaskan imej negara.

"Tindakan mereka menyaksikan Kedutaan Arab Saudi menghantar nota diplomatik kepada Wisma Putra kerana perbuatan itu melanggar undang-undang Arab Saudi.

"Bagaimanapun, tindakan ke atas mereka tertakluk kepada kerajaan Arab Saudi," katanya.

Isu itu timbul ketika Kohilan menjawab soalan Datuk Juslie Ajirol (BN-Libaran) yang mahu tahu tindakan yang boleh dilakukan oleh kedutaan Malaysia di negara asing terhadap rakyat Malaysia yang sering memutarbelit fakta dan memberi persepsi yang salah terhadap negara sendiri.

Dipetik Bernama, Kohilan berkata, kerajaan berharap supaya golongan yang menganjurkan perhimpunan Bersih supaya tidak terlalu taksub dengan fahaman politik sehingga sanggup mencemari tempat suci di Mekah dan Madinah.

Ketika itu, Khalid Samad (PKR-Shah Alam) bangun dan cuba memperlekeh Kohilan yang didakwa tidak faham makna sebenar perkataan umrah.

"Umrah tu perhimpunan la," kata Khalid yang kemudian mencetuskan pertikaman lidah antara Khalid dengan beberapa penyokong kerajaan terutama Datuk Mohamad Aziz (BN-Sri Gading).

Mohamad Aziz bangun menyanggah kenyataan Khalid yang disifatkannya telah memperalat ibadah untuk agenda politiknya.

"Jangan kata umrah itu perhimpunan... umrah dan haji itu satu ibadah, jangan Pas putar hukum agama sesuka hati. Jangan bercakap mengenai Islam kalau tidak tahu," kata Mohamad.

Kohilan kemudian mengejutkan anggota dewan apabila beliau membacakan maksud Surah Al-Baqarah ayat 197 mengenai keperluan umat Islam mengerjakan ibadat Haji secara tertib dan tidak berbantah-bantahan.

Tiada ulasan: