Ahad, 17 Jun 2012

Bakal menantu terlibat kes tipu: Rosmah, Najib dicabar saman akhbar Amerika

Oleh Aisha Geoffrey


KUALA LUMPUR : Ketua Wanita KEADILAN, Zuraida Kamaruddin mencabar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor menyaman malu akhbar Amerika yang mendakwa bakal menantu mereka terlibat dalam kes penipuan.



Zuraida berkata, tindakan undang-undang adalah penting kerana jika terbukti pendedahan itu benar, ia memalukan keluarga Perdana Menteri, selaku pemimpin negara.

“Rosmah harus bersedia dengan keputusan mahkamah dan jika disabit kesalahan, keluarga Najib patut saman, tak perlu menafikan,” katanya kepada Keadilan Daily.

Ahli Parlimen Ampang itu mengulas laporan media yang melaporkan bahawa sumber yang rapat dengan Rosmah menyatakan isu tersebut sengaja diperbesar-besarkan.

“Saya hairan bagaimana Rosmah boleh kata tidak ada kena-mengena dengan isu itu sedangkan tertuduh adalah bakal menantu dan suami kepada anak dia, melainkan pertunangan itu diputuskan,” katanya.

Awal minggu lalu, negara digemparkan dengan isu mengaitkan bakal menantu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak didakwa terlibat dalam kes penipuan.

 

Daniyar Nazarbayev dan Nooryana Najwa Najib

Berdasarkan dokumen mahkamah yang difailkan di Mahkamah Agung Manhattan Amerika Syarikat, Daniyar Nazarbayez, 24, didakwa menipu bapa tirinya seunit kondominium bernilai AS$20 (RM62 juta).
Tunang kepada anak perempuan Najib itu merupakan warganegara Kazakhstan dan mempunyai pertalian dengan Presiden Kazakhstan, Nursultan Nazarbayez.

Dokumen mahkamah itu menyebut, Daniyar memalsukan dokumen untuk memberikan gambaran bahawa dia berkelulusan sekolah tinggi di Kazakhstan bagi membolehkannya memasuki Universiti columbia, tempat di mana beliau bertemu Nooryana Najwa Najib.

Bagaimanapun, sumber akhbar itu berkata, dia sebenarnya bersekolah di Switzerland dan tidak menamatkan pelajaran.

Rekod Columbia juga menunjukkan Daniyar masih dalam senarai bekas pelajar dan bergraduasi pada 2010.


The New York Post melaporkan, jurucakap Columbia sudah dihubungi tetapi enggan mengulas lanjut.
Dokumen mahkamah itu difailkan Bolat Nazarbayez, abang kepada Presiden Kazahkstan dan bekas bapa tiri kepada Daniyar.

Bolat mendakwa Daniyar dan ibunya, Maira mengambil kesempatan terhadap beliau dengan menipu unit kondominium Plaza Hotel dan dua pangsapuri mewah bernilai berjuta-juta dolar di Wall Street.

“Saman itu menyatakan Daniyar sepatutnya menamakan bapa tirinya sebagai empunya apartment, sebaliknya meletakkan nama ibunya. Lapan bulan kemudian, Maira menjual apartmen tersebut kepada Daniyar dengan harga 1 dolar, kata kertas mahkamah,” lapor New York Post.

Bakal besan tolak dakwaan pada anak

Dalam perkembangan berkaitan, ibu kenapa Daniyar – Maira Nazarbayev menafikan dakwaan terhadap anaknya dan menyifatkan perkara itu sebagai manipulasi politik dan tidak masuk akal.

“Saya dan suami tidak pasti siapa sebenarnya di belakang dakwaan yang tidak masuk akal dan bersifat tuduhan ini.

“Ini urusan dalaman keluarga yang dimanipulasi dan dipergunakan oleh pelbagai pihak yang mempunyai kepentingan politik,” kata Maira dipetik sebagai berkata dalam kenyataan melalui jurucakap perhubungan awam, seperti dilapor Malaysiakini.

Tiada ulasan: