Sabtu, 23 Jun 2012

Azmin jelaskan isu letak jawatan Rafizi

KL TODAY

 


Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali menjelaskan tidak wujud sebarang pergeseran antaranya dengan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berhubung isu perletakan jawatan Mohd Rafizi Ramli sebagai ketua eksekutif Pejabat Penasihat Ekonomi Selangor.”Ini semua tohmahan musuh untuk memecah belah PKR,” ujarnya.Beliau kemudiannya menyalahkan beberapa media massa yang didakwanya mencetuskan isu berhubung perkara tersebut.

“Rafizi melepaskan jawatannya di peringkat negeri untuk memberi tumpuan kepada kerja-kerja dalam parti.

“Walaupun ramai yang melihat perletakan jawatannya berlaku pada waktu yang tidak sesuai tetapi parti yang memutuskan agar ia dilakukan sekarang bagi membolehkannya menumpukan perhatian kepada perkara yang lebih besar iaitu pilihan raya umum,” kata Azmin kepada para pemberita selepas beliau menghadiri satu majlis di sini pada Jumaat.

Azmin yang juga merupakan ahli parlimen Gombak berkata demikian ketika ditanya mengenai pergeseran di antara kemnya dengan kem Khalid Ibrahim yang diketuai oleh setiausaha politik menteri besar, Faekah Husin yang semakin ketara sekarang.

Sambil menafikan perkara itu, Azmin menjelaskan tidak wujud sebarang masalah di antaranya dengan pejabat menteri besar.

Perletakan jawatan Rafizi, katanya, tiada sebarang kaitan dengan masalah kerjasama antara pihaknya dengan menteri besar itu.

Faekah yang turut terkejut dengan pengumuman itu berkata, beliau tidak mempunyai sebarang masalah dengan Rafizi.

Malah Rafizi secara peribadi disifatkan beliau sebagai muka baru yang vokal dan mampu bersama-sama membawa perubahan sekiranya Pakatan Rakyat berjaya membentuk Kerajaan Pusat kelak.

Beliau sebaliknya berpendapat, Rafizi kini mahu menumpukan perhatian bagi merebut kerusi Parlimen Pandan.

Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak, berkata peletakan jawatan Mohd Rafizi Ramli menunjukkan perpecahan yang serius dalam kepimpinan Pakatan Rakyat di Selangor.

Beliau berkata, perbalahan itu terzahir secara terbuka dan menjadi semakin serius.

“Saya percaya orang ramai dan rakyat boleh membuat pertimbangan penting bagi kita menentukan parti mana yang boleh menentukan kelangsungan pentabiran yang stabil dan kukuh,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Menyuarat Majlis Tertinggi UMNO di Ibu Pejabat UMNO di sini, sebentar tadi.

Tiada ulasan: