Selasa, 26 Jun 2012

Aktivis Royalti dipukul dapat simpati MB


MALAYSIA CHRONICLE


KOTA BHARU- Menteri Besar merakamkan ucapan takziah dan simpati terhadap lima mangsa keganasan pihak tertentu pada Himpunan Menyokong Royalti di hadapan Kota Darulnaim pagi tadi.

Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat yang berada di Shah Alam hari ini melahirkan rasa kesal terhadap insiden yang disifatkan tidak wajar berlaku.

“Sekiranya semua pihak menghormati hak bersuara yang dijamin dalam perlembagaan tentunya tidak berlaku perkara buruk seperti itu,” katanya melalui kenyataan dikeluarkan Setiausaha Akhbarnya, Ahmad Fadhli Shaari.

Menteri Besar berada di Selangor menyampaikan ucaptama di Majlis Wacana Ilmu Mengenai Rasuah anjuran kerajaan negeri terbabit.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz turut menyampaikan sumbangan peribadi tanda simpati kepada semua mangsa terbabit.

Sumbangan disampaikan angggota Exco, Dato’ Abdul Fattah Mahmood sebagai mewakilinya.

Sumbangan berkenaan disampaikan di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu ketika mangsa membuat laporan polis.

“Tuan Guru turut merakamkan setinggi-tinggi terima kasih di atas sokongan yang ditunjukkan rakyat Kelantan terhadap usaha kerajaan negeri menuntut royalti minyak dan pendaratan gas yang dinafikan kerajaan pusat.

“Juga terima kasih kepada pihak keselamatan yang telah memberikan kerjasama memastikan perhimpunan aman tersebut berlangsung dengan baik,” kata Fadhli.-harakahdaily

Tiada ulasan: